Khamis, 6 Mei 2021 | 11:40pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

COVID-19: Jangan tipu, sorok maklumat

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu meminta rakyat negeri itu tidak menipu dan menyorok maklumat mengenai kesihatan mereka kepada petugas kesihatan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mengesan ada kes sanggup menipu petugas kesihatan dengan memberi maklumat palsu terutama mengenai kontak rapat COVID-19.

"Jangan nawok (tipu) dan susuk (sorok) maklumat mengenai kesihatan, akibatnya akan menjadi lebih serius dan parah.

"Ada antara mereka yang sanggup memberi amaran dan tanpa perasaan belas serta simpati sanggup menuduh petugas kesihatan 'gila' ketika siasatan dilakukan.

"Anda sudah positif dan anda sepatutnya menjaga orang lain daripada turut positif dan bukannya membiarkan ramai orang lain positif hanya kerana sikap keegoan...jangan biarkan ratusan lagi positif disebabkan anda," katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab anda boleh menyebabkan kontak rapat gagal dikesan dan bila gagal dikesan mereka ini merata dalam komuniti dan bakal mencetuskan kluster besar.

"Ketahui lah, petugas kesihatan buat siasatan kepada kes positif, ianya bukan untuk menuduh atau mendakwa anda bersalah...tetapi mereka siasat untuk kesan seramai mungkin kontak rapat untuk disaring dan diasingkan, supaya penularan lebih besar dapat dicegah, tetapi menyedihkan apabila ramai juga yang tidak memberi kerjasama.

"Bila ditanya pergi mana dan jumpa siapa semalam, mereka mampu jawab, saya lupa dan tidak tahu lah, petugas kesihatan hanya tanya cerita semalam dan bukannya cerita tahun lepas, mereka hanya mengaku apabila sudah terkantoi," katanya.

Dr Nor Azimi menggesa masyarakat terutama mereka yang disahkan positif COVID-19, supaya bersimpati dengan petugas kesihatan yang hanya menjalankan tugas.

Dalam perkembangan lain, empat daerah di negeri ini dikategorikan zon merah selepas berlaku peningkatan kes positif COVID-19 hari ini.

Berdasarkan situasi pandemik COVID-19, dikeluarkan melalui portal dikeluarkan jabatan itu hari ini, empat daerah dikategorikan zon merah iaitu Besut selepas mencatatkan 271 kes positif COVID-19, Setiu (254), Kuala Nerus (53) dan terbaharu Kuala Terengganu selepas mencatatkan 43 kes.

Dua daerah iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu masih dikategorikan zon hijau apabila tiada kes dilaporkan manakala daerah Marang yang mencatatkan lapan kes positif dan Dungun (14) masih dikategorikan zon kuning.

Jabatan itu merekodkan sebanyak 58 kes baharu COVID-19, dan satu kematian membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai kontak rapat daripada anaknya yang disahkan positif COVID-19.

Berita Harian X