Isnin, 3 Mei 2021 | 12:26pm

Jabatan Agama Islam Melaka laksanakan SOP baharu aktiviti masjid

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak membenarkan aktiviti tadarus al-Quran, tazkirah ketika solat sunat tarawih dan selepas solat sunat witir serta moreh dan sahur secara bufet, mulai esok.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata turut tidak dibenarkan ialah imam dan penceramah dari luar Melaka.

"Ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang baharu dikemaskini, berikutan peningkatan kes pandemik COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

"Sejajar dengan aktiviti tadarus al-Quran yang tidak dibenarkan, majlis khatam al-Quran ditangguhkan," katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya aktiviti jemaah tabligh berdakwah di masjid dan memasak untuk jamuan di masjid dan surau Jumaat juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, JAIM masih membenarkan aktiviti seperti solat Jumaat, solat fardu berjemaah, solat sunat tarawih, kuliah subuh, qiamullail dan majlis berbuka puasa tetapi dengan syarat makanan dan minuman dibungkus.

"Moreh atau makan di masjid dibenarkan dengan syarat penyediaannya secara bungkus manakala bufet tidak dibenarkan.

"Aktiviti harian masjid dan surau Jumaat berakhir selepas solat sunat witir dan masjid hendaklah ditutup sepenuhnya pada jam 10.30 malam," katanya.

Mengenai SOP di surau dan madrasah, JAIM tidak membenarkan aktiviti berbuka puasa, moreh dan sahur.

Selain itu, qiamullail, tadarus al-Quran, tazkirah selepas solat sunat tarawih dan penceramah dari luar Melaka juga tidak dibenarkan.

Katanya, JAIM turut tidak membenarkan surau dan madrasah menjalankan aktiviti jemaah tabligh dan memasak.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mencatatkan 61 kes positif COVID-19 dengan 58 kes tempatan dan tiga kes import dan daripada jumlah itu, 10 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga menerima alat bantuan pernafasan.

Satu kluster baharu dicatatkan semalam, iaitu Kluster Jalan Emas di Melaka Tengah dan ia dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta.

Seramai 114 orang kontak rapat disaring dan 10 daripadanya positif COVID-19.

Berita Harian X