Jumaat, 30 April 2021 | 7:10pm

SM Imtiaz diarah tutup

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengarahkan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Setiu, di sini, ditutup selama 14 hari, berkuat kuasa semalam sehingga 11 Mei depan.

Penutupan SM Imtiaz Setiu adalah untuk proses sanitasi selepas seorang guru dan 11 pelajarnya disahkan positif COVID-19.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus, berkata pihaknya juga melakukan saringan COVID-19 secara bersasar kepada semua guru dan pelajar SM Imtiaz Setiu, sejak semalam.

Katanya, saringan itu bagi mengesan secepat mungkin kes positif COVID-19 kalangan guru dan pelajar sekolah berkenaan.

"Ia bagi membolehkan mereka diasingkan dan diberi rawatan bagi memutuskan rantaian virus secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi mengakui, selain sekolah rendah, sukar untuk mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama kerana bilangan pelajar yang ramai dan mudah untuk bersesak.

"Pelajar asrama sangat akrab, makan sepinggan dan tidur sekatil itu biasa namun paling utama pastikan guru, pelajar dan kakitangan yang bergejala atau mempunyai kontak rapat tidak hadir ke sekolah," katanya.

Nor Azimi juga menasihatkan semua guru agar sentiasa memakai pelitup muka sewaktu mengajar bagi mengelakkan titisan air liur terkena pelajar atau permukaan kelas sewaktu sesi pembelajaran.

Berita Harian X