Jumaat, 30 April 2021 | 4:16pm
Anggota Bomba melakukan sanitasi awam untuk pembersihan kuman. - Foto BOMBA
Anggota Bomba melakukan sanitasi awam untuk pembersihan kuman. - Foto BOMBA

Guru, pelajar SM Imtiaz positif COVID-19

KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah (SM) Imtiaz di Saujana, Setiu ditutup selama 14 hari selepas seorang guru dan 11 pelajar disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penutupan selama 14 hari bermula 28 April hingga 11 Mei itu, bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Beliau berkata, selain penutupan sekolah, Jabatan Kesihatan Terengganu turut melakukan saringan bersasar di sekolah berkenaan, untuk mengesan kes-kes positif COVID-19 lain.

"Saringan dibuat untuk mengesan kes-kes positif di sekolah ini. Mereka akan diasingkan dan diberi rawatan. Dengan cara begini, rantaian boleh diputuskan lebih cepat," katanya dalam dalam hantaran di laman Facebooknya.

Dr Nor Azimi berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, khususnya sekolah rendah agak sukar berikutan murid-murid yang masih kecil pergaulannya tidak terbatas.

Katanya, situasi sama turut berlaku di asrama sekolah, terutama asrama yang mempunyai jumlah pelajar ramai dan sesak.

"Pelajar pun sangat akrab di asrama. Makan sepinggan, tidur sekatil itu biasa. Seketul ayam dikongsi ramai pelajar pun biasa. Tambahan pula di bulan puasa ini," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, sekolah dan institusi pendidikan boleh mengamalkan beberapa langkah bagi mencegah jangkitan atau penularan lebih besar di tempat masing-masing.

Katanya, langkah paling utama perlu diamalkan ialah memastikan guru, pelajar dan kakitangan sokongan yang bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 tidak hadir ke sekolah.

"Pastikan ada pematuhan SOP bila ada program membabitkan ramai pelajar dan semua pakai pelitup muka serta penjarakan fizikal sepanjang program.

"Jika guru tidak selesa pakai pelitup muka ketika mengajar, boleh pakai 'face shield'. Ia boleh mengelak titisan air liur terkena pelajar atau permukaan dalam kelas. Kita faham guru kena bersuara kuat supaya pelajar boleh dengar.

"Guru pun kena jaga jarak dengan pelajar," katanya.

Berita Harian X