Selasa, 27 April 2021 | 9:37pm
 Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto fail NSTP
Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto fail NSTP

Sabah kekalkan syarat pergerakan, SOP

KOTA KINABALU: Sabah masih mengekalkan syarat pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan ketika ini walaupun statusnya berubah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula lusa.

Ia termasuk mengekalkan kebenaran aktiviti merentas daerah dalam zon sama yang dilaksanakan sejak bulan lalu selepas kes penularan COVID-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataan medianya malam ini, berkata perubahan status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu mengambil kira situasi penularan COVID-19 ketika ini yang kembali menunjukkan peningkatan.

"Kerajaan negeri mengambil maklum keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan PKPB di beberapa negeri termasuk Sabah. Status PKPB bagi Sabah akan berkuat kuasa mulai 29 April ini hingga 17 Mei depan.

"Kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan sekatan rentas zon seperti yang ada sekarang. Kerajaan negeri juga memutuskan untuk mengekalkan SOP yang ada sekarang bagi mempercepat usaha memulihkan sektor ekonomi selagi ia tidak menghalang usaha membanteras penularan virus COVID-19," katanya.

Perubahan status kawalan pergerakan di Sabah itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang medianya petang tadi.

Berikutan kenyataan itu, penduduk di Sabah masih boleh merentas daerah dalam zon sama, kecuali di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebanyak enam zon diwujudkan di seluruh negeri bagi membahagikan daerah yang boleh direntasi, manakala sempadan setiap zon dikawal menerusi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh pasukan keselamatan.

Peningkatan kawasan dalam zon merah di negeri ini adalah antara punca status Sabah dikembalikan kepada PKPB, selain mengambil kira jumlah lokaliti dikenakan PKPD yang terus bertambah.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata setakat hari ini lapan daerah di Sabah berada dalam zon merah, manakala empat dalam zon jingga, diikuti sembilan daerah dalam zon kuning dan enam daerah dalam zon hijau.

"Daerah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Papar, Putatan dan Kinabatangan berada dalam zon merah, manakala Tuaran, Penampang, Kalabakan dan Keningau berada dalam zon jingga," katanya.

Beliau berkata, bermula esok empat lagi lokaliti baharu dikenakan PKPD di negeri ini iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman, Mukim Sri Tanjung, Tawau; PPR Batu 8, Jalan Apas, Tawau; Kompleks Abedon, Kinabatangan dan FELDA Umas, Kalabakan.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 82 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 27 kes, diikuti Tawau (21) dan Lahad Datu (9), manakala seramai 140 pesakit dilaporkan sembuh.

Berita Harian X