Selasa, 27 April 2021 | 7:54am
Foto hiasan.- Bernama
Foto hiasan.- Bernama

450,404 sudah mendaftar sebagai penerima vaksin di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 450,404 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 15.4 peratus daripada populasi negeri ini.

Katanya, pendaftaran sebagai penerima vaksin paling banyak dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, berbanding di laman sesawang dan talian vaksinasi.

"Bilangan pendaftaran hari ini (semalam) mencatatkan sebanyak 986, menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini adalah seramai 450,404 orang.

"Seramai 404,861 mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, 45,281 mendaftar menerusi laman sesawang dan 262 pula mendaftar melalui talian vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Sabah, Masidi menjelaskan seramai 192 individu sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 9,216 orang setakat semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 88 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,747 kes dan dua kes kematian direkodkan di Tawau.

"Jumlah pesakit COVID-19 discaj yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 178, menjadikan jumlah kumulatif 56,165 orang.

"Sementara itu, seramai 938 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 285 di hospital, 650 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Berita Harian X