Sabtu, 24 April 2021 | 8:05am
 Seramai 444,926 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah setakat semalam.- Foto hiasan NSTP
Seramai 444,926 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah setakat semalam.- Foto hiasan NSTP

444,926 mendaftar sebagai penerima vaksin di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 444,926 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 15.2 peratus daripada populasi negeri ini.

Katanya, pendaftaran terbanyak diterima menerusi aplikasi MySejahtera iaitu seramai 401,150 orang, diikuti pendaftaran melalui laman web seramai 43,522 dan pendaftaran melalui talian vaksinasi seramai 254 orang.

"Bilangan pendaftaran penerima vaksin hari ini (semalam) ialah sejumlah 3,505 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar di Sabah setakat ini sebanyak 444,926," katanya dalam kenyataan medianya, malam tadi.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama di Sabah, Masidi berkata seramai 52,056 orang sudah menerima suntikan dos pertama setakat ini, termasuk lima individu yang mendapatkannya semalam.

Bagi suntikan dos kedua vaksin Pfizer - BioNTech itu, katanya seramai 511 orang menerima suntikan semalam, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini seramai 42,726 orang.

"Bagi Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa dua, seramai 1,854 orang menerima suntikan vaksin harian dos pertama, semalam, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini seramai 7,397 orang," katanya.

Sementara itu, Sabah mencatat sebanyak 82 kes baharu COVID-19, semalam dengan dua kematian iaitu di Tawau dan Sandakan, manakala seramai 184 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Tawau kekal merekodkan kes baharu tertinggi dengan 34 kes semalam, diikuti Sandakan (14 kes) dan Kota Kinabalu (10 kes).

"Sebanyak tujuh daerah mencatat kes satu angka iaitu antara satu hingga lapan kes, manakala 17 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu," katanya.

Berita Harian X