Isnin, 19 April 2021 | 4:29pm

Pusat jagaan didakwa sebabkan bayi melecur

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri kesal dengan tindakan sebuah pusat penjagaan bayi dan ibu berpantang di sini, yang didakwa gagal melunaskan pampasan dijanjikan selepas bayi mereka melecur ketika dalam jagaan pusat itu pada November tahun lalu.

Suri rumah, Tan Xin Ping, 26, berkata bayinya yang berusia 26 hari ketika kejadian, melecur tahap dua di belakang badan akibat air mandian panas berikutan kecuaian pihak terbabit.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Xin Ping sedang berehat di bilik tingkat atas pusat berkenaan sebelum pihak pengurusan memaklumkan bayinya melecur dua jam kemudian.

"Saya turun untuk memeriksa dan mendapati badan bayi saya melecur di belakang badan manakala dia keletihan akibat menangis.

"Apabila ditanya puncanya, kakitangan di situ mendakwa tidak tahu.

"Saya bergegas ke sebuah hospital swasta dan jururawat di sana menasihatkan saya membuat laporan polis kerana kesan kecederaan bayi disyaki melecur akibat benda panas.

"Bayi saya ditahan empat hari untuk rawatan. Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Larkin pada hari sama iaitu 21 November tahun lalu, siasatan polis mendapati seorang pengasuh mengaku memandikan anak saya dengan air panas.

"Pihak pengurusan ingin menyelesaikan masalah itu secara diam-diam dengan membuat perjanjian bertulis bagi memberi pampasan atas kejadian berkenaan.

"Pampasan itu termasuk mengembalikan semula pakej berpantang 30 hari berharga RM7,733, membayar bil hospital berjumlah RM4,000, menanggung kos rawatan susulan dan membayar RM3,000 setiap bulan selama setahun.

"Keseluruhan pampasan berjumlah RM45,000," katanya pada sidang media bersama suaminya, Oon Yew Hao, 30, di Pusat Aduan MCA Pasir Gudang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Xin Ping berkata, pihak pusat penjagaan itu hanya mengembalikan semula bayaran pakej, bil hospital dan bayaran bulanan sekali iaitu RM3,000.

Apa yang membuatkan beliau terkilan ialah tidak diberitahu serta-merta mengenai keadaan bayinya yang melecur ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang, meminta pihak terbabit tampil memohon maaf dan bertanggungjawab dengan menambah baik prosedur di pusat penjagaan itu.

"Kita mendapat maklum pusat penjagaan ini tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) penjagaan bayi," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, Zaiton Ismail, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap pusat penjagaan itu.

Xin Ping (tengah) mendukung bayinya dan menunjukkan kesan lama melecur di bahagian belakang badan akibat kecuaian kakitangan di sebuah pusat penjagaan bayi dan ibu berpantang di Johor Bahru, November tahun lalu. - NSTP/Omar Ahmad
Xin Ping (tengah) mendukung bayinya dan menunjukkan kesan lama melecur di bahagian belakang badan akibat kecuaian kakitangan di sebuah pusat penjagaan bayi dan ibu berpantang di Johor Bahru, November tahun lalu. - NSTP/Omar Ahmad
Berita Harian X