Ahad, 18 April 2021 | 10:51am
Lapan PATI yang cuba menyusup masuk melalui jalan tikus ditahan di Lubok Antu petang semalam. - Foto NSTP/Ihsan TDM
Lapan PATI yang cuba menyusup masuk melalui jalan tikus ditahan di Lubok Antu petang semalam. - Foto NSTP/Ihsan TDM

Tentera usir PATI cuba menyusup masuk Sarawak

KUCHING : Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus dalam tempoh 10 hari bermula 8 April lalu.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri, berkata jumlah paling ramai PATI yang diusir ialah pada 12 April lalu.

Ketika itu, seramai 11 PATI termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dikesan memasuki jalan tikus di Tebedu pada jam 7 malam.

"Terbaharu, seramai lapan PATI dikesan di jalan tikus di kawasan Lubok Antu pada jam 5 petang, semalam.

"Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan ketika berjalan kira-kira 300 meter dari sempadan," katanya.

Beliau berkata, pelbagai alasan dan taktik digunakan oleh PATI untuk menyelinap masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup kesan daripada pandemik COVID-19 selain faktor menyambut bulan Ramadan.

"Semua PATI itu diusir selaras dengan matlamat Op Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19," katanya.

Katanya lagi, anggota TDM komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif OP BENTENG dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan.

"TDM juga sentiasa bersedia mengawal sebilang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara," katanya.

Berita Harian X