Sabtu, 17 April 2021 | 10:26pm
Penganjur bazar Ramadan lebih mengutamakan keuntungan daripada menggunakan lebih ramai petugas bagi mengawal pengunjung. NSTP/Baharom Bakar
Penganjur bazar Ramadan lebih mengutamakan keuntungan daripada menggunakan lebih ramai petugas bagi mengawal pengunjung. NSTP/Baharom Bakar

Penganjur utamakan keuntungan punca kegagalan sediakan petugas

KUALA TERENGGANU: Utamakan keuntungan punca penganjur gagal menyediakan petugas untuk mengawal kehadiran pengunjung ke tapak bazar Ramadan.

Tinjauan mendapati penganjur hanya menyediakan antara dua dan empat petugas bagi mengawal kemasukan pengunjung ke tapak bazar Ramadan untuk membeli-belah juadah berbuka puasa.

Petugas itu didapati hanya bertugas di laluan masuk bagi menasihatkan pengunjung melakukan ujian suhu badan selain mengagihkan kad nombor giliran seperti ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Susulan petugas terhad, ada antara pengunjung mengangkat tali keselamatan untuk menyusup masuk ke tapak bazar Ramadan tanpa melalui proses ujian suhu badan serta tidak mencatatkan nama dan nombor telefon pada buku disediakan.

Tinjauan juga mendapati masih berlaku kesesakan dan keadaan berhimpit di beberapa gerai dalam kawasan tapak bazar Ramadan.

Beberapa pengunjung ketika ditemui mencadangkan penganjur agar menyediakan lebih ramai petugas untuk mengawal kesesakan dan menyuraikan pengunjung yang berhimpit ketika memilih juadah berbuka puasa di tapak bazar Ramadan.

"Penganjur tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan anggota pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana mereka juga mempunyai tugasan lain.

"Penganjur sepatutnya tidak terlalu mengutamakan keuntungan, sebaliknya menggunakan lebih ramai petugas untuk melakukan rondaan menyuraikan pengunjung yang berhimpit," katanya.

Tinjauan mendapati bukan semua pengunjung memasuki tapak bazar Ramadan melalui laluan 'tikus', sebaliknya ada antaranya sanggup beratur panjang melakukan ujian suhu badan dan mengambil nombor giliran.

Tinjauan juga mendapati penganjur gagal menyediakan tali keselamatan mencukupi untuk menyekat laluan.

Berikutan itu, beberapa anggota penguat kuasa MBKT terpaksa memasang tali keselamatan di beberapa lokasi di kawasan bazar Ramadan.

Berita Harian X