Sabtu, 17 April 2021 | 9:00pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Sutekno Ahmad Belon (kanan) melayan anak penagih pada Program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa COVID-19 - Jom Shopping Raya anjuran AADK di Aeon Mall Seremban 2, di sini, hari ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Sutekno Ahmad Belon (kanan) melayan anak penagih pada Program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa COVID-19 - Jom Shopping Raya anjuran AADK di Aeon Mall Seremban 2, di sini, hari ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Aminuddin beri amaran tutup bazar Ramadan tiga hari

SEREMBAN: Operasi bazar Ramadan di Negeri Sembilan akan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk penutupan sementara selama tiga hari, jika didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tindakan tegas itu antara langkah yang akan diambil bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, susulan laporan kesesakan pengunjung di beberapa bazar Ramadan di negeri ini terutama di daerah ini.

"Setakat ini, kita (kerajaan negeri) sudah menerima laporan awal berlaku permasalahan di bazar Ramadan sekitar Nilai dan saya sudah meminta Datuk Bandar (Majlis Bandaraya Seremban), Datuk Zazali Salehudin bersama Setiausahanya, Midyawan Yahya, memanggil semua penganjur dan pengusaha bazar Ramadan.

"Kita sudah beri peringatan berhubung kegagalan pelanggaran SOP dan sudah menyatakan mengenai tindakan penutupan selama tiga hari jika ingkar.

"Kita juga akan serahkan perkara ini kepada pihak penguat kuasa terutama pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan yang lain, jika ia dirasakan berpatutan," katanya ditemui selepas merasmikan Program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa COVID-19 - Jom Shopping Raya anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Aeon Mall Seremban 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek; Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon; Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap dan Pengarah AADK negeri, Tuan Iskandar Turkee.

Beliau berkata, setakat ini, masalah membabitkan bazar Ramadan di daerah Seremban manakala di daerah lain seperti di Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jelebu, dalam keadaan yang baik dan terkawal.

"Kita terima laporan di daerah lain berjalan dengan baik dan setakat ini hanya di daerah Seremban iaitu di bawah seliaan MBS," katanya.

Aminuddin turut mengingatkan penganjur bazar Ramadan dan orang ramai supaya hargai kebenaran yang diberikan kerajaan negeri bagi penganjuran bazar Ramadan dengan memastikan patuh sepenuhnya kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya mohon, semua pihak mematuhi SOP ditetapkan, berusaha sebaik mungkin elakkan daripada melanggar SOP, supaya kita dapat menjalani tempoh Ramadan ini dan Aidilfitri nanti dalam keadaan yang baik," katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata seramai 30 anak penagih Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Pilah diraikan dengan membelikan mereka pakaian baharu sempena sambutan Aidilfitri.

Katanya, program itu baik kerana mereka juga perlu diberi perhatian selain tidak mahu emosi anak-anak ini berada dalam keadaan terganggu atau merendah diri.

"Program ini adalah cetusan idea menerusi sistem MyCare-Client Capital Recovery Empowerment diusahakan AADK negeri dan mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri bagi membantu penagih dan ahli keluarganya.

"Usaha yang dilakukan AADK adalah baik dalam membantu penagih dan ahli keluarga berpeluang merasai nikmat kasih sayang daripada masyarakat. Ia juga dapat menggembirakan anak-anak dan keluarga yang memerlukan khususnya bagi membuat persiapan menyambut hari raya nanti," katanya.

Aminuddin berkata, sistem yang digunakan AADK itu dapat mengenalpasti permasalahan, jenis bantuan berkaitan penagih dan setakat Disember tahun lalu, seramai 1,743 (90.5 peratus) data lengkap penagih sudah diambil.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 1,258 penagih dikenal pasti memerlukan bantuan merangkumi bantuan kesihatan, pekerjaan, agama dan bantuan kediaman manakala seramai 258 pasangan penagih (isteri) pula dilaporkan tidak bekerja dan memerlukan bantuan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Berita Harian X