Sabtu, 17 April 2021 | 8:10pm
Pengunjung berbaris sebelum dibenarkan masuk di tapak bazar Ramadan di Kawasan Letak Kereta Stadium Paroi. - Foto MOHD AMIN JALIL
Pengunjung berbaris sebelum dibenarkan masuk di tapak bazar Ramadan di Kawasan Letak Kereta Stadium Paroi. - Foto MOHD AMIN JALIL

Penganjur bazar Ramadan Paroi tambah petugas kawal pengunjung

SEREMBAN: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Seremban yang menganjurkan bazar Ramadan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, menambah empat laluan masuk dan keluar serta petugas bagi mengawal kehadiran pengunjung.

Penyelarasnya, Aslam Din Nawab Din berkata, penambahan laluan itu dilakukan sejak hari kedua Ramadan sebagai langkah memudahkan pemantauan dilakukan terhadap pengunjung.

Beliau berkata, pihaknya mengenakan syarat ketat kepada setiap pengunjung yang hadir dengan memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita membuka empat laluan masuk ke kawasan tapak bazar dan menyediakan lapan orang petugas di pintu masuk dan seluruh kawasan tapak bagi memantau dan memastikan orang ramai mengikut peraturan dan saluran ditetapkan.

"Usaha ini bagi mengelak orang ramai hadir dan berada dalam kawasan bazar Ramadan dalam keadaan terlalu padat sehingga sukar melakukan penjarakan fizikal.

"Kita juga menyediakan segala kemudahan termasuk alat memeriksa suhu dan cecair pencuci kuman dengan setiap pengunjung perlu melakukannya sebelum dibenarkan masuk," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Aslam Din berkata, pihaknya akan menyekat mana-mana pengunjung daripada memasuki bazar jika terdapat terlalu ramai orang berada dalam kawasan bazar selain mereka yang membawa anak kecil.

"Kita berusaha sebaik mungkin mengawal kehadiran pengunjung dalam kawasan bazar kerana tidak mahu wujud kluster baharu COVID-19," katanya.

Selain itu, beliau menyambut baik peringatan tegas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai keperluan penganjur bazar mematuhi SOP.

"Kita sedar usaha memutuskan rantaian Covid-19 masih belum berakhir dan kami akan pastikan pengunjung yang hadir ke sini, patuh kepada SOP ditetapkan," katanya.

Berita Harian X