Sabtu, 17 April 2021 | 4:09pm
Noraini Jaafar, 54, menunjukkan foto anaknya, Allahyarham Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Noraini Jaafar, 54, menunjukkan foto anaknya, Allahyarham Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Reda anak maut ketika bertugas

GEORGETOWN: Seorang anggota polis yang meluahkan rasa rindu masakan emaknya selepas hampir setahun tidak bertemu akibat kekangan tugas berikutan penularan COVID-19, maut dalam kemalangan ketika bertugas awal pagi tadi .

Mangsa, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 20, anggota dari Balai Polis Dato Kramat meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan pada jam 1.35 pagi ketika menjalankan tugas di Jalan Utama, di sini.

Ibu mangsa, Noraini Jaafar, 54, dari Kuala Besut, Terenggan, berkata kali terakhir dia berbual dengan arwah anaknya menerusi telefon dua hari lalu, sebelum dikejutkan dengan berita kematiannya kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

"Kami mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik menerusi panggilan daripada sahabat arwah di Georgetown.

"Kali terakhir kami berbual ialah pada dua hari lalu yang mana arwah menghantar gambar menu berbuka puasa menerusi aplikasi WhatsApp.

"Arwah yang berbuka puasa seorang diri turut menyatakan rindu dengan masakan saya selain keropok lekor kegemarannya," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.

Noraini berkata, dia dan suami, Mazlan Omar, 56, kemudian bergegas ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta dan tiba ke Hospital Pulau Pinang (HPP) jam 9 pagi tadi.

Beliau berkata, arwah adalah seorang anak yang rajin dan taat kepada ibu bapa, serta tidak banyak bercakap tetapi mudah tersenyum.

Katanya, arwah anaknya juga mengirimkan telekung solat berwarna merah kepada Noraini sebelum puasa pada 9 April lalu.

"Kali terakhir kami bertemu ialah pada Aidilfitri tahun lalu semasa dia pulang ke kampung dan telekung berkenaan akan menjadi kenangan saya dengan Muhammad Iqbal.

"Saya selalu bergurau dengan Muhammad Iqbal mengenai badannya yang semakin berisi sejak tinggal di Pulau Pinang dan selepas ini sudah tiada gurau senda dengannya," katanya.

Namun begitu, Noraini berkata, dia reda dan bangga dengan Muhammad Iqbal yang berbakti kepada negara pada hayatnya.

"Bapanya adalah anggota polis trafik berpangkat Sarjan di Jertih, dan tidak hairanlah jika Muhammad Iqbal mengikut jejak bapanya dalam bidang kepolisan.

"Jenazah Muhammad Iqbal dijangka dikebumikan di Kampung Air Tawar, Besut," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kita sedang melengkapkan laporan dan menunggu bedah siasat," katanya lagi.

Berita Harian X