Sabtu, 17 April 2021 | 2:39pm
Gambar resit pembayaran zakat yang didakwa oleh lelaki bukan Islam baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca
Gambar resit pembayaran zakat yang didakwa oleh lelaki bukan Islam baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

Tidak salah bukan Islam menyumbang kepada orang Islam

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjelaskan sebarang bentuk bayaran sumbangan yang dilakukan orang bukan Islam tidak boleh dianggap sebagai zakat, kerana ia hanya dituntut kepada golongan muslim.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, berkata apabila ia disebut sebagai tuntutan berzakat, maka ada syarat-syaratnya iaitu mesti seorang Islam sama ada lelaki atau perempuan untuk zakat fitrah serta mempunyai harta bagi zakat harta.

Namun, beliau berkata, LZNK akan menerima sebarang sumbangan daripada orang bukan Islam bagi tujuan manfaat kepada umat Islam di negeri ini.

Ini kerana, katanya, orang bukan Islam yang mahu menyumbang berkemungkinan besar percaya bahawa agensi yang menerima sumbangan dan mengagihkan setiap sumbangan kepada fakir dan miskin.

"Mungkin orang bukan Islam yang mahu memberi sumbangan percaya bahawa kita agensi yang menerima sumbangan dan mengagihkan setiap sumbangan kepada fakir dan miskin.

"Kita mengakui menerima satu sumbangan daripada seorang penama namun pihaknya akan menyemak terlebih dahulu sama ada individu itu muslim atau tidak. Kita juga yakin semua orang yang berada di muka bumi ini mempunyai naluri dan percaya bahawa menyumbang adalah kaedah terbaik untuk membantu orang lain.

"Dia memilih LZNK kerana percaya dengan sistem kita mengagihkan setiap sumbangan dan zakat orang Islam," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan seorang lelaki penganut Hindu yang membayar zakat fitrah dan zakat harta sejak 10 tahun lalu kepada LZNK.

Kisah mengenai Chandramogan Jasingo, 40, yang berasal dari Kuala Ketil, Baling tular selepas beliau memuat naik resit pembayaran zakat fitrah pada 2 Ramadan lalu, di akaun Facebooknya diiringi kapsyen yang menyentuh hati ramai netizen.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, LZNK tidak anggap ia sebagai zakat tetapi adalah sumbangan, dan orang bukan Islam yang menyumbang kepada orang Islam adalah tidak salah di sisi agama.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kini dalam proses menilai kerosakan dan jenis bantuan yang akan diberikan kepada penghuni lima rumah di pusat pengajian Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang, Yan yang musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Katanya, LZNK akan mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka terutama sekiranya mereka daripada keluarga asnaf.

"Bagaimanapun bantuan yang diberikan akan diselaraskan dengan Pejabat Daerah Yan," katanya.

Berita Harian X