Sabtu, 17 April 2021 | 1:24pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Warga asing masih dilarang ke masjid, surau - Mufti Melaka

AYER KEROH: Kerajaan Melaka masih tidak membenarkan warga asing untuk menyertai sebarang aktiviti ibadah di masjid dan surau di negeri itu.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, berkata keputusan yang dipersetujui itu adalah bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang sebelum ini banyak dikaitkan berpunca daripada pekerja asing.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri juga tidak menggalakkan kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah untuk turut serta dalam aktiviti di masjid dan surau kerana lebih terdedah dengan wabak itu.

"Kita faham ramai ibu bapa mahu mendidik anak mereka supaya dekat dengan rumah Allah terutama pada bulan Ramadan ini, namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak ini (COVID-19).

"Sebab itulah kita memutuskan tidak digalakkan kanak-kanak ke masjid dan surau sebagai langkah keselamatan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah mengedarkan surat pekeliling kepada masjid dan surau di negeri itu untuk membenarkan aktiviti ibadah dilakukan sepanjang Ramadan ini.

Katanya, kebenaran itu juga termasuk aktiviti solat tarawih, program tadarus al-Quran, kuliah Subuh serta qiamullail dengan syarat setiap jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, mendaftar nama atau imbasan MySejahtera, berwuduk dari rumah, penjarakan fizikal serta digalakkan membawa sejadah sendiri.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya membuat keputusan tidak membenarkan apa-apa penganjuran aktiviti lain seperti ceramah, ucapan, penyampaian sumbangan dan sebagainya dalam kawasan premis masjid dan surau sejurus masuk waktu Isyak sehingga solat sunat witir selesai.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian itu hanya diberikan kepada program rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

"Arahan ini berkuat-kuasa serta-merta sehingga akhir Ramadan ini dan semua jawatankuasa masjid dan surau diminta mematuhinya," katanya.

Berita Harian X