Sabtu, 17 April 2021 | 12:54pm
Jambatan Sungai Beletir yang dibaiki sendiri penduduk kampung selepas rosak akibat banjir awal tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah bersama wakil Tentera Kem Batu 5 Mentakab, meninjau tapak jambatan itu yang akan diganti dengan jambatan Bailey. - Foto ROSELAN AB MALEK
Jambatan Sungai Beletir yang dibaiki sendiri penduduk kampung selepas rosak akibat banjir awal tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah bersama wakil Tentera Kem Batu 5 Mentakab, meninjau tapak jambatan itu yang akan diganti dengan jambatan Bailey. - Foto ROSELAN AB MALEK

Penduduk Kampung Sungai Putat dapat jambatan Bailey

JERANTUT: Penduduk Kampung Sungai Putat, dekat sini, lega jambatan kecil yang rosak akibat banjir awal tahun ini digantikan dengan jambatan Bailey, sekali gus memudahkan penduduk membawa keluar hasil pertanian dan berulang alik ke pusat bandar.

Mohd Zain Awang, 50, berkata dia dan penduduk bersyukur mendapat tahu kerajaan akan menggantikan jambatan lama Sungai Beletir di kampung itu dengan jambatan Bailey.

"Kami mengharapkan segera dibina jambatan berkenaan untuk kemudahan penduduk membawa hasil sawit dan getah ke bandar.

"Sejak awal tahun ini penduduk di sini agak sukar ke luar dan bimbang keselamatan masing-masing sekiranya melalui jambatan yang rosak dan terdapat mendapan besar," katanya.

Sebelum itu, beliau berkata, penduduk kampung berkenaan bergotong royong membaiki jambatan kecil Sungai Beletir itu menggunakan kayu hutan dan batang kelapa dan kemudian meletak simen di atasnya bagi memudahkan kenderaan berulang alik tetapi tidak dapat dipastikan ketahanannya.

Tindakan penduduk kampung membaiki sendiri jambatan sehingga tular di laman sosial menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah untuk membantu penduduk terbabit.

Nazri berkata, beliau hari ini bersama wakil Tentera Kem Batu 5 Mentakab ,ke Kampung Sungai Putat untuk melihat tapak jambatan kecil Sungai Beletir, yang rosak itu.

"Setelah berbincang dan mengutarakan permasalahan penduduk di Kampung Sungai Putat ini kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi permohonan segera jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan kecil Sungai Beletir yang mengalami kerosakan yang teruk akibat musim tengkujuh pada awal tahun ini.

"Jambatan ini amat membahayakan kepada penduduk setempat sebagai laluan utama ke pusat bandar, sekolah, tempat kerja dan laluan hasil pertanian," katanya.

Nazri berkata, permohonan segera ini sudah diluluskan bagi membuat jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan kecil Sungai Beletir di Kampung Sungai Putat dalam masa terdekat.

Berita Harian X