Rabu, 7 April 2021 | 4:21pm
Solat Tarawih, Witir dan kuliah agama dibenarkan di masjid serta surau di Terengganu sepanjang Ramadan. FOTO NSTP
Solat Tarawih, Witir dan kuliah agama dibenarkan di masjid serta surau di Terengganu sepanjang Ramadan. FOTO NSTP

Terengganu benar solat Tarawih di masjid, surau

KUALA TERENGGANU: Semua masjid dan surau di negeri ini benarkan mendirikan solat sunat Tarawih serta menjalankan aktiviti keagamaan termasuk pengajian agama sepanjang Ramadan ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, jumlah rakaat solat sunat Tarawih bergantung kepada kemampuan jemaah sama ada mahu menunaikan lapan atau 20 rakaat tidak termasuk Witir.

Bagaimanapun, jawatankuasa masjid dan surau serta jemaah katanya diminta mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Solat sunat Tarawih di semua masjid dan surau tidak harus dijadikan isu kerana semua aktiviti di semua masjid dan surau termasuk solat fardu berjemaah, solat Jumaat serta kuliah harian diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sejak Januari lalu.

"Jumlah rakaat solat Tarawih bergantung kepada kemampuan jemaah dan kita tidak mengeluarkan ketetapan," katanya kepada media, hari ini.

Mat Azmi berkata, pegawai dan anggota keselamatan termasuk daripada JHEAT akan melakukan pemantauan bagi memastikan semua SOP sentiasa dipatuhi di masjdi dan surau.

"Jawatankuasa masjid dan surau turut diminta menyediakan buku pendaftaran jemaah bagi memudahkan dihubungi pihak keselamatan jika terdapat kes jangkitan COVID-19.

"Jawatankuasa masjid dan surau diminta memastikan tiada perhimpunan di dalam dan di luar masjid selepas selesai solat sunat Tarawih," katanya.

Berita Harian X