X
Khamis, 1 April 2021 | 7:14pm
Sebahagian kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan pemimpin masyarakat yang menyertai program gotong-royong denai sungai kebangsaan sempena Hari Bumi peringkat Negeri Sembilan di Kampung Batang Benar, Nilai. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Sebahagian kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan pemimpin masyarakat yang menyertai program gotong-royong denai sungai kebangsaan sempena Hari Bumi peringkat Negeri Sembilan di Kampung Batang Benar, Nilai. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Empat sungai di NS jadi sasaran sampah haram

NILAI: Kerajaan negeri menanggung kerugian kira-kira RM1 juta bagi membersihkan empat sungai di Negeri Sembilan yang menjadi sasaran kegiatan pencemaran dan pembuangan sisa berjadual secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata empat sungai berkenaan ialah Sungai Anak Air Garam di Mambau; Sungai Batang Benar di Nilai; dan Sungai Belihoi serta saliran Sungai Linggi, di sini.

Katanya, semua sungai terbabit pernah mencatat beberapa insiden pencemaran antara 2019 hingga tahun lalu, susulan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri menanggung kerugian RM1 juta bagi membersihkan semua empat sungai yang tercemar itu.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau semua kawasan sungai terbabit bagi memastikan ia terpelihara dan bebas daripada sebarang pencemaran.

"Sungai adalah antara sumber air bersih untuk keperluan penduduk selain memastikan persekitaran yang sihat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan Sempena Hari Bumi peringkat Negeri Sembilan di Kampung Batang Benar, Mantin dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon.

Veerapan berkata, sungai berkenaan dilihat sebagai lokasi 'panas' bagi kegiatan pembuangan sisa berjadual haram kerana tempatnya yang tersorok dan terpencil.

Selain itu, katanya, tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di situ menyebabkan mereka membuang buangan sisa berjadual seperti minyak ke sungai.

"Lazimnya, mereka mengambil kesempatan pada waktu pagi bagi melakukan pembuangan sisa.

"Saya minta orang ramai kalau ada melihat aktiviti mencurigakan supaya memaklumkan kepada pihak JAS supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengulas mengenai projek loji insinerator di Bandar Baru Sendayan, Veerapan berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya kerja di tapak dihentikan serta-merta.

Katanya, notis amaran sudah dihantar kepada syarikat berkenaan pada Jumaat lalu.

"Kita memberi notis amaran dan jika mereka ingkar kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Berita Harian X