Isnin, 29 March 2021 | 1:26pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) bersama Ketua Pengarah Eksekutif Ehsan Waterpark, Datuk Abdul Hamid PV Abdu menandatangani plak perasmian Taman Tema Air Ehsan Waterpark. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) bersama Ketua Pengarah Eksekutif Ehsan Waterpark, Datuk Abdul Hamid PV Abdu menandatangani plak perasmian Taman Tema Air Ehsan Waterpark. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sasar 5 juta pelancong sempena Tahun Melawat PD 2022

PORT DICKSON: Kerajaan negeri menyasarkan lebih lima juta pelancong melawat daerah ini sempena Tahun Melawat Port Dickson tahun depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jumlah 70 peratus daripada lapan juta pelancong ke Negeri Sembilan itu adalah berdasarkan trend kedatangan pelancong ke pantai peranginan di daerah ini yang semakin meningkat terutama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerajaan negeri meletakkan sasaran ini dan pastinya ia sebagai satu tanda yang amat baik dalam industri pelancongan domestik.

"Kita juga lihat ada satu hotel baharu yang beroperasi di sini dan berharap ia juga dapat memulihkan kembali sektor ini walaupun penularan wabak COVID-19 masih berlaku, ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taman Tema Air Ehsan Waterpark Port Dickson di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Ehsan Waterpark, Datuk Abdul Hamid PV Abdu.

Taman tema air berkeluasan hampir dua hektar itu dibaik pulih selepas terbengkalai selama tujuh tahun dengan kos keseluruhan sebanyak RM6 juta.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, selain Port Dickson, beberapa daerah lain seperti Kuala Pilah, Seremban, Jempol, Rembau, Jelebu juga akan dijadikan kawasan tarikan pelancong.

"Di Kuala Pilah, kami memulihkan kembali warisan perkampungan budaya yang sudah menjadi satu destinasi tarikan bagi peminat makanan tradisi negeri ini dan bukan sahaja pada hari cuti namun pada hari biasa juga ada pelancong yang berkunjung.

"Saya juga mahu memastikan Seremban ada lokasi tertentu yang boleh dilawati seperti Jelebu, kawasan eko-pelancongan manakala di Rembau kami sedang menyediakan satu tarikan baharu di Gunung Datuk," katanya.

Berita Harian X