Sabtu, 20 March 2021 | 3:40pm
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci kepada seorang pembeli pada majlis penyerahan kunci projek PRIMA Pahang, Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, Kuantan. NSTP/Asrol Awang
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci kepada seorang pembeli pada majlis penyerahan kunci projek PRIMA Pahang, Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, Kuantan. NSTP/Asrol Awang

Pahang batal 31 projek PR1MA

KUANTAN: Kerajaan negeri membatalkan 31 projek rumah PR1MA Pahang berikutan kegagalan pemaju perumahan menyiapkan projek mengikut syarat ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu diambil selepas pemaju terbabit tidak mampu meneruskannya.

Justeru, katanya, kerajaan negeri membuat keputusan melantik pemaju baharu untuk mengambil alih projek PR1MA yang semakin mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Pahang untuk memiliki rumah sendiri.

"Keputusan menyerahkan projek kepada pemaju lain bertujuan memastikan usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pahang dapat dilaksanakan.

"Sebenarnya, kita sudah memberi mereka (pemaju) peluang meneruskan projek itu tetapi apabila tidak mampu, kerajaan negeri membatalkannya dan menawarkan kepada pemaju lain.

"Jika tidak, kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permintaan daripada rakyat Pahang," katanya kepada media selepas majlis penyerahan kunci projek PRIMA Pahang, Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda.

Mengenai projek Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, Wan Rosdy berkata, sebanyak 203 unit PR1MA Pahang dibina membabitkan dua fasa yang dijual pada harga RM150,000 hingga RM200,000 seunit.

Katanya, harga semasa yang ditetapkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara adalah antara RM300,000 hingga RM500,000.

"Bagaimanapun kerajaan negeri boleh menjual harga seunit pada harga RM150,000 tanpa mengira kaum manakala penjawat awam menikmati potongan 10 peratus," katanya.

Berita Harian X