Rabu, 10 March 2021 | 5:45pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (tengah) bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin (kanan) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan (kiri) selesai menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu. Foto Ihsan Kementerian Kerja Raya Sabah

Bung Moktar terima suntikan vaksin COVID-19

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama dua lagi menteri Kabinet negeri menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah menerima suntikan vaksin itu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, selepas selesai mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), tengah hari tadi.

Dua lagi yang menerima suntikan bersama beliau ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan.

Mereka adalah kumpulan kedua jemaah menteri Sabah yang menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 selepas kumpulan pertama yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, minggu lalu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, Jafry dan Yakub tiba di HQE kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi dan membuat imbasan kod MySejahtera untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Doktor yang bertugas turut memberi penerangan mengenai vaksin berkenaan terlebih dahulu sebelum ketiga-tiga mereka diberikan suntikan.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19.

Katanya, sebelum suntikan dilakukan saringan sejarah kesihatan akan dilakukan terhadap semua individu sebelum disahkan layak menerima vaksin.

Sehingga semalam, seramai 14,065 individu dalam kategori barisan hadapan sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech menerusi program imunisasi fasa pertama di Sabah.

Berita Harian X