Sabtu, 27 Februari 2021 | 1:15pm

Feri Kuala Perlis ke Langkawi beroperasi semula

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Langkawi beroperasi semula hari ini dengan jumlah penumpang seramai 132 orang ke pulau itu.

Perkhidmatan feri dihentikan di Terminal Feri Kuala Perlis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom, berkata setakat hari ini hanya satu trip perjalanan feri beroperasi dari Kuala Perlis ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Perlis.

Beliau berkata, jumlah penumpang dari pulau Langkawi ke Kuala Perlis pula adalah seramai 129 orang berdasarkan jualan tiket dan feri dijangka bertolak pada jam 2 petang ini.

"Perkhidmatan feri dari Kuala Perlis baru berlepas pada jam 11.30 pagi tadi dengan jumlah penumpang seramai 132 orang.

"Bagaimanapun kesemua penumpang perlu mempunyai surat kebenaran polis untuk merentas daerah atau negeri sebelum menaiki feri selain memakai pelitup muka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharin berkata, dua perjalanan di Terminal Feri Kuala Kedah ke Langkawi adalah pada jam 11.30 pagi dan 4 petang setiap hari.

Beliau berkata, bagi perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis pula bermula pada jam 10.30 pagi dan 3 petang.

"Jumlah penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi adalah seramai 850 orang manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah seramai 650 orang untuk perjalanan hari ini.

"Data itu diperoleh setakat jam 11.35 pagi tadi," katanya.

Berita Harian X