Khamis, 25 Februari 2021 | 1:39pm
Satu trip perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi akan beroperasi semula di Terminal Feri Kuala Perlis bermula Sabtu ini. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Satu trip perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi akan beroperasi semula di Terminal Feri Kuala Perlis bermula Sabtu ini. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Perkhidmatan feri Kuala Perlis-Langkawi dibuka semula Sabtu ini

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri untuk pelancong dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Pulau Langkawi akan dibuka semula Sabtu ini.

Pembukaan laluan masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Feri Kuala Perlis itu adalah bagi memenuhi permintaan pelancong ketika ini.

Bagaimanapun, hanya satu trip perjalanan dijadualkan beroperasi setiap hari setakat ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom, berkata bagi laluan masuk Langkawi dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pula akan ditambah lagi satu trip perjalanan menjadikan dua trip perjalanan sehari.

Katanya, pihaknya turut mengharapkan larangan rentas negeri akan dibuka semula supaya lebih banyak trip perjalanan dapat diadakan.

"Mengikut rekod, perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis adalah sebelum ini adalah 10 trip sehari manakala kemasukan melalui Terminal Penumpang Kuala Kedah, lapan trip sehari.

"Penambahan trip perjalanan ini diharap dapat membantu industri pelancongan Langkawi yang hampir mati ketika ini dan membuka kembali peluang pekerjaan di sektor pelancongan, peruncitan dan perhotelan di Langkawi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dihentikan selaras larangan merentas negeri dan daerah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi feri hanya dilakukan di Terminal Feri Kuala Kedah namun semua penumpang perlu menunjukkan surat kebenaran merentas daerah atau negeri yang dikeluarkan oleh polis.

Berita Harian X