Khamis, 11 Februari 2021 | 9:23pm

MAIDAM sumbang 4,000 pelitup muka untuk calon SPM SMK Bukit Besar

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyumbangkan 4,000 pelitup muka kepada 120 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, hari ini.

Pelitup muka itu amat diperlukan calon SPM terbabit yang akan menduduki peperiksaan pada 22 Februari ini selepas sekolah itu diarahkan tutup selama 14 hari susulan seorang guru dan dua pelajar disahkan positif COVID-19, akhir bulan lalu.

Berikutan arahan penutupan sekolah itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) terpaksa ditangguhkan, manakala 18 calon terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah selama 14 hari berakhir Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin, berkata pihaknya amat prihatin dengan nasib semua calon peperiksaan SPM, terutama 18 calon yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah.

Beliau berkata, ibu bapa calon SPM terutama pelajar yang terpaksa menjalani proses kuarantin amat terkesan selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hampir 95 peratus daripada mereka bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.

"Antara barangan amat diperlukan calon SPM adalah pelitup muka untuk dipakai ketika menduduki peperiksaan selama tiga hari mulai 22 Februari depan," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan termasuk makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000 kepada pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, selain topeng muka untuk 120 calon SPM dan pengurusan sekolah, pelbagai makanan dan minuman ringan turut diberikan untuk keperluan 18 pelajar yang terpaksa tinggal di asrama.

Katanya, ia boleh digunakan calon SPM yang tinggal di asrama ketika mengulangi mata pelajaran dan mengikuti pengajian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sementara itu, Ismail berkata, dua pelajar dan seorang guru yang disahkan positif COVID-19, sehingga menyebabkan sekolah terpaksa ditutup sudah sembuh sepenuhnya selepas menjalani rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato Razali Ismail, di Gong Badak.

Katanya, semua calon termasuk 18 pelajar yang tinggal di asrama selepas menjalani proses kuarantin sudah bersiap sedia menduduki peperiksaan.

"Ibu bapa semua calon SPM juga tidak perlu lagi menyediakan pelitup muka kerana kita akan bekalkan secara percuma apabila anak mereka melaporkan diri untuk menduduki peperiksaan," katanya.

M Rozi (kanan) menyerahkan pelitup muka kepada Ismail untuk keperluan calon SPM di SMK Bukit Besar, hari ini . - NSTP/Baharom Bakar
M Rozi (kanan) menyerahkan pelitup muka kepada Ismail untuk keperluan calon SPM di SMK Bukit Besar, hari ini . - NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X