Selasa, 9 Februari 2021 | 12:18pm
Pegawai pemantau harga KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa keadaan harga barangan keperluan di premis sekitar Seremban menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
Pegawai pemantau harga KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa keadaan harga barangan keperluan di premis sekitar Seremban menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan

KPDNHEP Negeri Sembilan lantik 135 pegawai pemantau harga

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menugaskan seramai 135 pegawai dan anggota pemantau harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) mulai semalam hingga 16 Februari ini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, mereka akan melakukan aktiviti pemantauan di lokasi terpilih yang menjadi tumpuan ramai di seluruh negeri.

Katanya, penugasan itu bertujuan memastikan persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika tanpa sebarang kegiatan melampau oleh peniaga.

"Peniaga di negeri ini dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna juga mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka dengan baik.

"Menjadi matlamat kita untuk menyekat sebarang kenaikan harga barangan keperluan sebelum, semasa dan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti atau bentuk perniagaan yang melanggar etika dan tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 juga akan turut dikeluarkan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak sepanjang tempoh skim berkenaan.

"Skim ini dilaksanakan juga diharap dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Ain Arjuna berkata, terdapat sebanyak 16 jenis barangan dikategorikan sebagai barang terkawal antaranya ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.

Beliau berkata, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa, malah terdapat juga harga yang ditentukan lebih rendah.

"Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

"Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu, dan bagi syarikat pula didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.

Berita Harian X