Ahad, 7 Februari 2021 | 3:57pm

OKU kerdil lega kedai gunting beroperasi

KOTA BHARU: Tukang gunting orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak menang tangan selepas kedai gunting miliknya di Kampung Parang Puting, Sabak mula beroperasi pada Jumaat lalu.

Sabri Mohamed, 39, berkata, dia menarik nafas lega kerana kini boleh melakukan kembali kerja hakikinya itu selepas hampir tiga minggu tidak beroperasi susulan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Januari lalu.

Katanya, selama kedai guntingnya tidak beroperasi, dia mengambil inisiatif mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai buruh kasar dan upah yang diperoleh hanya cukup-cukup makan demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Bagaimanapun, selepas kerajaan mula membenarkan kedai gunting beroperasi pada Jumaat lalu, saya tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke kedai untuk menggunting rambut.

"Namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diutamakan memandangkan saya perlu berhadapan dengan pelanggan yang berlainan latar belakang dan pada masa, lebih berhati-hati kerana tidak mahu wujud pula kluster daripada kami," katanya ketika di temui di kedai guntingnya di Kampung Parang Puting, Sabak, di sini, hari ini.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini berkata, disebabkan fizikal yang kerdil dengan ketinggian hanya 120 sentimeter, dia terpaksa menggunakan kekuda sebagai pelapik apabila berhadapan dengan pelanggan lebih tinggi daripadanya.

"Saya belajar kemahiran menggunting rambut dengan kawan ketika berusia 26 tahun dan waktu itu hanya menyediakan khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah, sebelum membuka kedai gunting sendiri pada 2003 dengan bermodalkan RM3,000 menggunakan wang simpanan sendiri.

"Pengalaman menjadi tukang gunting rambut sejak lebih 20 tahun lalu menyebabkan ramai pelanggan yang mempercayai kemahiran serta bakat yang saya ada," katanya.

Katanya, kebiasaannya dia mengambil masa selama 10 minit untuk menggunting rambut setiap pelanggan dan hanya mengambil masa selama 10 minit selain akan mengehadkan bilangan pelanggan yang masuk menggunting rambut dalam satu-satu masa.

"Purata pendapatan saya perolehi adalah antara RM70 hingga RM80 sehari, bergantung kepada pelanggan yang datang ke kedai," katanya yang juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Tukang gunting orang kurang upaya (OKU) fizikal, Sabri Mohamed tidak menang tangan selepas kedai gunting miliknya di Kampung Parang Puting, Sabak mula beroperasi pada Jumaat lalu. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Tukang gunting orang kurang upaya (OKU) fizikal, Sabri Mohamed tidak menang tangan selepas kedai gunting miliknya di Kampung Parang Puting, Sabak mula beroperasi pada Jumaat lalu. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X