Jumaat, 5 Februari 2021 | 11:19am
Semua komputer dan kelengkapan dalam premis PINTAR akan disanitasi tiga kali sehari sebelum dibuka untuk kemudahan pelajar mengikuti PdPR secara percuma mulai Ahad ini. - Foto BAHAROM BAKAR
Semua komputer dan kelengkapan dalam premis PINTAR akan disanitasi tiga kali sehari sebelum dibuka untuk kemudahan pelajar mengikuti PdPR secara percuma mulai Ahad ini. - Foto BAHAROM BAKAR

Pusat Internet Akses Rakyat disanitasi 3 kali sehari

KUALA TERENGGANU: Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) akan disanitasi tiga kali sehari bagi memastikan tiada kes penularan virus COVID-19, apabila beroperasi Ahad ini.

Pengurus Pentadbiran, Pembangunan Sumber Manusia dan Kewangan PINTAR, Haslinda Ilyas berkata, proses sanitasi membabitkan komputer dan semua peralatan serta kelengkapan dalam premis selepas setiap sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tamat.

Beliau berkata, proses sanitasi 20 pusat internet di seluruh negeri akan dilakukan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) yang ditugaskan mengawal selia premis berkenaan.

"Pelajar yang sentiasa diminta membersih tangan menggunakan cecair pembasmi kuman di sediakan selain perlu melakukan ujian suhu badan serta sentiasa memakai pelitup muka ketika mengikuti PdPR secara percuma disediakan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PINTAR di Jalan Paya Keladi, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital mengumumkan 20 daripada 37 PINTAR akan dibuka untuk memudahkan pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet mengikuti PdPR.

Haslina berkata, semua 20 pusat internet yang akan beroperasi Ahad ini sudah menjalani proses sanitasi dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, pelajar yang ingin menggunakan kemudahan itu akan diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.

"Kita akan menempatkan dua EIO di setiap PINTAR di seluruh negeri untuk melakukan penyelarasan.

"Bagi membendung penularan pandemik COVID-19, ibu bapa pelajar dan individu yang tidak berkaitan dilarang memasuki premis Pintar," katanya.

Haslina turut memberi jaminan capaian internet di semua PINTAR berkelajuan tinggi selepas kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM700,000 untuk menaik taraf kemudahan itu.

Berita Harian X