Rabu, 3 Februari 2021 | 2:40pm

Bangsal usang, tempat rehat kawasan perkelahan jadi lokasi PdPR

SETIU: Lebih 100 pelajar di Kampung Payong, di sini menjadikan bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan sebagai tempat bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Liputan internet yang lemah di kampung berkenaan menyebabkan mereka tiada pilihan dan menjadikan kawasan itu sebagai 'pusat PdPR' bagi menuntut ilmu dan supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Malah, ada antara mereka terpaksa berada di kawasan berkenaan sehingga jam 11 malam bagi mengikuti PdPR sambil ditemani ibu bapa masing-masing.

Masalah liputan internet yang sukar dicapai dan keadaan tidak selesa serta berdepan ancaman haiwan berbisa adakala menyebabkan ada di antara pelajar terbabit berputus asa untuk mengikuti PdPR.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Setiu, Muhammad Fakrul Fattah Abdul Gani, 16, berkata, dia bersama pelajar lain terpaksa mengikuti PdPR di kawasan itu, berikutan rangkaian internet yang lemah di rumah.

"Walaupun keadaan di sini tidak selesa dan liputan internet tidak stabil, kami tiada pilihan kerana tidak mahu ketinggalan kelas," katanya.

Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Liputan internet yang lemah di Kampung Payong menyebabkan mereka tiada pilihan dan menjadikan kawasan ini sebagai ‘pusat PdPR’. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Liputan internet yang lemah di Kampung Payong menyebabkan mereka tiada pilihan dan menjadikan kawasan ini sebagai ‘pusat PdPR’. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Penuntut institusi pengajian tinggi, Nurul Aliana Mat Arif, 21, pula berkata liputan internet tidak stabil menyebabkannya sering ketinggalan ketika mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan hilang fokus.

Bagi Rosliza Salleh, 43, berkata, dia terpaksa menemani dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun ke lokasi itu bagi menyelesaikan kerja sekolah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

"Tiada kemudahan internet di rumah, jadi mahu atau tidak terpaksa juga ke sini dan adakala saya menemani mereka di sini pada waktu malam," katanya.

Sebahagian pelajar menjadikan pondok rehat kawasan perkelahan di Kampung Payong sebagai tempat mengikuti PdPR. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Sebahagian pelajar menjadikan pondok rehat kawasan perkelahan di Kampung Payong sebagai tempat mengikuti PdPR. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payong, Mohd Abdul Jalal Ibrahim berharap, masalah yang berlarutan sejak tiga tahun itu dapat diselesaikan segera.

"Masalah ini sudah lama dan apabila PdPR dilaksanakan, ia lebih merumitkan keadaan, jadi kita harap ada penyelesaian terbaik untuk pendidikan anak kampung ini," katanya.

Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR berikutan rangkaian internet yang lemah di Kampung Payong. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR berikutan rangkaian internet yang lemah di Kampung Payong. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Berita Harian X