Khamis, 21 Januari 2021 | 2:13pm
Peniaga mi goreng, Abd Aziz Mohd Saat menjalani kuarantin di rumahnya di Kampung Lendu Hilir sehingga 28 Januari ini. - Foto Ihsan Abd Aziz
Peniaga mi goreng, Abd Aziz Mohd Saat menjalani kuarantin di rumahnya di Kampung Lendu Hilir sehingga 28 Januari ini. - Foto Ihsan Abd Aziz

'Saya tak goreng mi pakai gelang pink'

ALOR GAJAH: Peniaga mi goreng terkenal di pekan Lendu, di sini kesal menjadi mangsa fitnah, susulan selepas menjalani kuarantin disebabkan mempunyai kaitan dengan saudaranya yang positif COVID-19.

Warga emas, Abd Aziz Mohd Saat, 74 dari Kampung Lendu Hilir di sini berkata, sehingga pagi tadi tersebar luas fitnah dalam kalangan masyarakat bahawa beliau membuka kedai walaupun masih memakai gelang pink di tangan.

Beliau kesal dengan fitnah berkenaan sedangkan tidak pernah berbuat demikian.

"Sebenarnya, saya hanya menjalankan perniagaan separuh hari sahaja semalam selepas diarahkan hadir ke Hospital Alor Gajah pada jam 2 petang semalam.

"Selepas memperoleh surat kuarantin dan dibekalkan gelang pink, saya terus berkemas dan mengangkat barang sekali gus menutup kedai bersama anak, Norizam Abd Aziz, 46 dan isteri, Taksiah Che De, 66 yang juga membantu saya setiap hari di kedai," katanya yang sudah berniaga lebih 29 tahun lalu.

Namun, Abd Aziz berkata, ada beberapa pihak mendakwanya terus berniaga termasuk goreng mi kepada pelanggan.

"Saya sudah menutup seluruh operasi kedai sebaik pulang dari hospital sehingga 28 Januari seperti diarahkan dan mengharapkan dia dan anak isteri bebas daripada sebarang jangkitan selepas ini," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai menghentikan fitnah di media sosial dan boleh mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Katanya, dua saudaranya yang disahkan positif COVID-19 kini menjalani rawatan di Hospital Melaka sehingga semua penduduk berhampiran rumah mangsa turut menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu.

"Malah, saya juga kesal dan kecewa apabila ada pihak menuduh terdapat pelanggan yang sakit perut selepas menikmati mi yang digorengnya semalam.

Sementara itu, Norizam berkata, dia, ayah dan ibunya bebas daripada jangkitan virus berkenaan dan tidak mengalami batuk, selsema dan demam namun hanya menjalani kuarantin seperti yang diarahkan Pejabat Kesihatan Daerah.

Berita Harian X