Jumaat, 15 Januari 2021 | 4:26pm
Gambar hiasan akad nikah di dalam kebun getah. - Foto AHMAD FARDAUS YAHAYA
Gambar hiasan akad nikah di dalam kebun getah. - Foto AHMAD FARDAUS YAHAYA

Akad nikah pengantin dari luar Pahang ditangguhkan

KUANTAN: Majlis akad nikah pengantin dari luar Pahang ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifli Ali, berkata penangguhan itu berikutan larangan rentas negeri sama ada pengantin dari negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya, jika terdapat keperluan mengadakan akad nikah disebabkan sudah diberikan kebenaran lebih awal, iaitu sebelum 13 Januari lalu, majlis itu hendaklah diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

"Borang permohonan khas majlis akad nikah dalam tempoh PKP atau PKPB atau PKPP perlu diisi. Kehadiran hanya tiga orang sahaja, iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali, manakala dua saksi dan jurunikah akan ditentukan kadi daerah.

"Syarat tambahan ialah mengemuka kebenaran rentas negeri, keputusan kit ujian pantas (RTK) antigen (RTK-Ag) COVID-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam dari tarikh majlis akad nikah, bagi setiap individu yang hadir dari luar Pahang ketika memasuki Pejabat Agama Islam Daerah.

"Ujian RTK-Ag boleh dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan atau swasta yang diiktiraf di negeri atau tempat tinggal pemohon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi bakal pasangan pengantin dari Pahang, beliau berkata, JAIP hanya membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Katanya, kadi daerah akan menentukan tempoh giliran pelaksanaan majlis akad mengikut jadual yang disusun oleh Pejabat Agama Islam Daerah dengan perbincangan bersama pemohon.

"Pemohon dan pihak yang terbabit dalam majlis akad hendaklah mematuhi langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah.

"Antara syarat itu ialah pemakaian pelitup muka, ujian suhu, penggunaan cecair pensanitasi tangan, penjarakan sosial satu meter, kepatuhan susun atur kedudukan dan membuat sanitasi tempat majlis akad nikah.

"Majlis akad nikah itu tidak boleh melebihi lapan orang iaitu jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki dan perempuan dan wali.

"Tempoh masa majlis akad nikah tidak boleh melebihi 20 minit dan upacara adat tidak dibenarkan," katanya.

Bagi wali yang berada di luar Pahang ketika tempoh PKP dan PKPB, beliau berkata, majlis itu digalakkan ditangguhkan atau boleh dilaksanakan secara wakalah wali.

Katanya, majlis resepsi, majlis kenduri kahwin untuk masjid akad nikah hendaklah ditangguhkan.

"Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, kadi daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Pahang boleh menangguhkan majlis itu," katanya.

Berita Harian X