Rabu, 30 Disember 2020 | 10:55am
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir (kiri) merasmikan inap desa yang baru dibuka di Manggatal, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir (kiri) merasmikan inap desa yang baru dibuka di Manggatal, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)

Pelan Daerah Kota Kinabalu lindungi alam sekitar ibu negeri Sabah

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini di peringkat akhir menyiapkan Pelan Daerah Kota Kinabalu sebagai panduan aktiviti pembangunan bagi kawasan pinggir bandar.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata pelan itu merangkumi semua kawasan pinggir bandar termasuk pulau, kawasan tanah rendah dan bukit yang ada di sekitar ibu negeri.

Katanya, pelan daerah itu penting bagi memastikan keindahan kawasan pinggir bandar dan sekelilingnya sentiasa terpelihara daripada ancaman pembangunan tidak terkawal yang boleh menjejaskan alam sekitar.

"Kita mempunyai kawasan pinggir bandar termasuk pulau, tanah rendah dan kawasan berbukit dengan ketinggian sehingga 800 meter dari paras laut. Pemandangan dari puncak bukit begitu memukau, cantik dan mendamaikan.

"Kita perlu melindungi biodiversiti alam semula jadi di kawasan ini. Flora dan fauna di sekitar bandar raya sangat menarik dan ia bermanfaat kepada penduduk setempat serta pelancong.

"Kawasan sensitif seperti tadahan air dan sumber air penduduk kampung juga perlu dilindungi dengan baik. Sebab itu, kita perlu ada pelan daerah sebagai panduan untuk memastikan pembangunan pinggir bandar dilakukan secara sistematik," katanya selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan pembentukan pelan itu, di sini, semalam.

Pembentukan Pelan Daerah Kota Kinabalu melengkapkan Pelan Tempatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dijadikan panduan program pembangunan di kawasan pekan, bandar dan pusat bandar raya.

Kawasan pinggir bandar Kota Kinabalu merangkumi kampung di sekitar kawasan berbukit di Inanam, Manggatal dan Telipok; kawasan pulau seperti Pulau Sepanggar, Pulau Gaya dan pulau lain dalam kawasan Taman Tunku Abdul Rahman.

Kawasan berkenaan juga dikenali dengan aktiviti pelancongan termasuk inap desa yang menyediakan percutian berkonsepkan kehidupan kampung sama seperti yang ditawarkan di kawasan luar bandar.

Abidin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap DBKK berkata, sebelum diwarta oleh kerajaan negeri, DBKK akan mempamerkan Pelan Daerah Kota Kinabalu kepada orang ramai bagi mendapatkan maklum balas awam.

Katanya, selepas dikuatkuasakan, pelan itu akan dikaji semula setiap lima tahun sekali dengan mengambil kira pembangunan dan perubahan yang berlaku di kawasan ibu negeri.

Berita Harian X