Sabtu, 26 Disember 2020 | 9:14pm
Masalah alur pelayaran cetek di Kuala Perlis mengganggu operasi feri pelancong dan bot nelayan di sekitar kawasan itu. - Gambar fail NSTP
Masalah alur pelayaran cetek di Kuala Perlis mengganggu operasi feri pelancong dan bot nelayan di sekitar kawasan itu. - Gambar fail NSTP
Feri penumpang menghubungkan Kuala Perlis-Langkawi.
Feri penumpang menghubungkan Kuala Perlis-Langkawi.

Alur pelayaran cetek jejas operasi feri Langkawi

ALOR SETAR: Kerajaan digesa menyelesaikan isu alur pelayaran cetek khususnya di Kuala Perlis yang menyebabkan perjalanan feri pelancong menghubungkan kawasan itu dengan Langkawi terjejas.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata fenomena alur cetek itu kembali berlaku memandangkan kerja pengorekan untuk keselamatan pelayaran kali terakhir dilakukan pada 2019.

"Kita mohon kerajaan membuat perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah lama ini yang membelenggu pengangkutan feri menghubungkan Kuala Perlis-Langkawi.

"Mungkin boleh dibina tambatan untuk menghalang lumpur dari Pulau Ketam yang atau dibina jeti laut seperti yang dilakukan di Langkawi.

"Kita bimbang jika ia tidak ditangani, mungkin akan berlaku kejadian tidak diingini seperti feri tersangkut dalam lumpur dan ia boleh membawa kesan buruk kepada nama baik industri pelancongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masalah air cetek di Kuala Perlis menyebabkan feri sukar berlabuh di jeti. - Gambar ihsan Ferryline Ventures
Masalah air cetek di Kuala Perlis menyebabkan feri sukar berlabuh di jeti. - Gambar ihsan Ferryline Ventures

Baharin berkata alur pelayaran cetek sememangnya mengganggu operasi pelayaran feri, tambahan pula dalam keadaan sekarang jumlah pelancong ke Langkawi juga bertambah.

"Kita terpaksa menambah bilangan feri untuk memastikan pelancong tidak hampa, dengan operasi juga terpaksa dilanjutkan sehingga malam hari bagi menampung perjalanan feri yang tergendala," katanya.

Mengulas tambahan feri, katanya dua perjalanan tambahan disediakan bagi kedua-dua laluan menghubungkan Langkawi-Kuala Perlis berbanding lapan perjalanan sedia ada.

"Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah pula, setakat ini ditambah daripada enam kepada lapan, manakala Kuala Kedah-Langkawi ditambah daripada enam kepada tujuh perjalanan," katanya.

Baharin berkata, perjalanan feri keluar masuk di dua terminal iaitu Kuala Kedah dan Kuala Perlis mampu menampung lebih 25,000 penumpang sehari dengan jumlah perjalanan 68 trip.

Berita Harian X