Khamis, 17 Disember 2020 | 4:41pm
Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid (tiga dari kanan) bersama Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli (kanan) dan Ketua ARMADA BERSATU Kedah, Mohd Saffuan Sabari (dua dari kanan) memegang kenyataan media mengenai sokongan tuntutan caj bekalan air kerajaan Kedah kepada Pulau Pinang pada sidang media di Kuala Kedah. - Foto NSTP/ Amran Hamid
Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid (tiga dari kanan) bersama Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli (kanan) dan Ketua ARMADA BERSATU Kedah, Mohd Saffuan Sabari (dua dari kanan) memegang kenyataan media mengenai sokongan tuntutan caj bekalan air kerajaan Kedah kepada Pulau Pinang pada sidang media di Kuala Kedah. - Foto NSTP/ Amran Hamid

Semak semula perjanjian bekalan air Kedah, Pulau Pinang

ALOR SETAR: Perjanjian bekalan air antara Kedah dan Pulau Pinang yang dimeterai pada 1985 perlu disemak semula mengambil kira kesesuaian dan keperluan semasa.

Desakan itu disuarakan Pemuda PAS Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah serta Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah, menerusi sidang media bersama di sini, hari ini.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid, berkata semakan semula perjanjian itu perlu berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air mereka atau 1,100 juta liter padu (mld) dari Sungai Muda sehari pada masa kini.

"Penggunaan sangat tinggi itu bersumberkan air yang mengalir dalam Sungai Muda dari kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda di Kedah.

"Kedah sudah banyak menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran air sementara Pulau Pinang menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

"Jadi selepas 35 tahun tahun, penggunaan air di Pulau Pinang sangat tinggi berbanding Kedah, jadi adalah wajar perjanjian itu disemak semula," katanya.

Yang turut serta dalam sidang media itu ialah Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli dan Ketua ARMADA BERSATU Kedah, Mohd Saffuan Sabari.

Nurul Amin berkata, pihaknya menyokong penuh tuntutan RM50 juta setahun oleh Kedah daripada Pulau Pinang atas penggunaan sumber bekalan air itu.

Katanya, isu itu tidak wajar dipolitikkan mana-mana pihak kerana ia bukan isu politik kepartian yang perlu diprovokasi sehingga mengenepikan isu asal iaitu pemuliharaan kawasan tadahan air.

"Tuntutan ini munasabah kerana ia amat diperlukan untuk Kedah melaksanakan program pengekalan dan kelestarian kawasan bagi menjamin bekalan air mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Oleh itu, semangat setiakawanan sebagai negeri berjiran boleh dijelma dalam bentuk toleransi dan mahabbah kerana tuntutan ini berfakta dan memiliki nilai keuntungan masa depan bersama bagi kedua-dua negeri berikutan pengekalan dan pemuliharaan kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda akan menjamin sumber air bagi generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X