Isnin, 7 Disember 2020 | 2:07pm

Perjalanan feri Kuala Kedah, Kuala Perlis ke Langkawi ditambah

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan ditambah jumlah laluan perjalanan bermula 11 Disember ini berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang tamat sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara (JLMWU), Mohd Hafiz Abdul Majid, berkata ini membolehkan pelancong berkunjung ke pulau itu menggunakan perkhidmatan feri seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.

Beliau berkata, pertambahan laluan perjalanan feri itu berikutan permintaan orang ramai yang mahukan pengusaha feri menambah perkhidmatan pengangkutan laut itu selepas PKPB dilonggarkan.

"Sebelum ini rentas negeri dan hanya membabitkan Zon Hijau ke Zon Hijau saja menyebabkan perkhidmatan feri terpaksa dikurangkan.

"Selepas ini, jika permintaan feri terus meningkat, pengusaha feri bersedia menambah perkhidmatan jadual feri untuk memenuhi permintaan pelancong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah akan ditambah menjadi empat perjalanan trip manakala Langkawi ke Kuala Perlis kepada lima perjalanan, pada 11 Disember ini berbanding dua perjalanan sehala ketika ini.

Perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah bermula jam 7.30 pagi, diikuti jam 12.30 tengah hari, 4.30 petang dan 6.30 petang.

"Bagi perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi bermula jam 8 pagi, 10 pagi, 3 petang dan 7 malam.

"Untuk perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis bermula jam 8 pagi, 11.30 pagi, 12.30 tengah hari, 5 petang dan 7 malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perjalanan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi bermula jam 8 pagi, 10 pagi, 1.30 petang, 2.30 petang dan 7 malam.

JLMWU akan memastikan terminal jeti digunakan dalam keadaan terbaik bagi memastikan penumpang selamat dan perjalanan lancar.

Semua penumpang feri juga sentiasa diingatkan supaya mematuhi SOP COVID 19 ditetapkan dan sentiasa merancang perjalanan mengelakan kesesakan di jeti.

Perjalanan feri Kuala Kedah, Kuala Perlis ke Langkawi ditambah kepada lima selepas PKPB ditamatkan semalam bagi memberi perkhidmatan yang cekap. - NSTP/Zuliaty Zukliffli.
Perjalanan feri Kuala Kedah, Kuala Perlis ke Langkawi ditambah kepada lima selepas PKPB ditamatkan semalam bagi memberi perkhidmatan yang cekap. - NSTP/Zuliaty Zukliffli.
Berita Harian X