Ahad, 6 Disember 2020 | 2:33pm

KASA kaji kawal air masin masuk ke takungan air

PASIR PUTEH: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan membuat kajian bagi mengawal air masin yang memasuki pintu kawalan air pasang surut (TCG).

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kajian itu bagi menyelesaikan masalah sumber air di Kelantan memandangkan TCG dibawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak antara kawasan yang mempunyai takungan air sangat besar.

"Namun ia menjadi masalah apabila air masin atau air laut masuk ke dalam TCG yang menyebabkan sumber air itu menjadi payau.

"Justeru, satu kajian akan dibuat pihak kementerian untuk meneliti sejauh mana kita dapat mengawal air masin yang masuk. Kalau sekiranya sesuai dan berfungsi dengan baik, mungkin kita boleh jadikannya salah satu projek TAPS (Takungan Air Pinggiran Sungai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi serta Pengarah IADA Kemasin Semerak Nik Hamadi Nik Abdullah.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata TAPS adalah kaedah baharu yang diperkenalkan KASA dengan menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut dan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya memerlukan satu lagi pintu TCG di Pasir Puteh bagi mengurangkan risiko banjir.

Katanya, permohonan TCG yang membabitkan kos RM1.8 juta di kawasan Bukit Gedombak sudah dibuat peruntukannya dijangka diteliti di peringkat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam masa terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan) diringi oleh Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah (kanan) ketika hadir melawat terusan semerak di Tidal Control Gate (TCG) di Gong Kulim, Pasir Puteh. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan) diringi oleh Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah (kanan) ketika hadir melawat terusan semerak di Tidal Control Gate (TCG) di Gong Kulim, Pasir Puteh. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X