Ahad, 22 November 2020 | 4:53pm
Empangan Muda, Sik. - Foto Kedahnews
Empangan Muda, Sik. - Foto Kedahnews

Pelepasan air di Empangan Muda selamat

SIK: Pelepasan air di Empangan Muda dilakukan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada kadar selamat, terkawal dan dengan pemantauan pegawai teknikal di empangan terbabit.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata penduduk tidak perlu panik ia dilakukan dalam keadaan normal selepas berlaku limpahan akibat hujan beberapa hari lalu.

"Pasukan teknikal MADA bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan. Setakat ini, keadaan beransur baik dan kita harap cuaca cerah dalam masa beberapa hari ini.

"Sebelum pelepasan air kita memaklumkan kepada Jabatan Penerangan dan penghulu setiap mukim supaya penduduk kampung bersiap sedia," katanya.

Beliau mengulas video tular mengenai pelepasan air didakwa berlaku di Empangan Pedu, Padang Terap mengakibatkan limpahan air luar biasa ekoran hujan lebat.

Terdahulu, Ahmad Tarmizi ditemui selepas program simulasi menghadapi banjir di dalam norma baharu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Tasik Beris di Sik, hari ini.

MADA dalam kenyataannya, mengesahkan ada kejadian limpahan air di empangan seperti ditular dalam video semalam, namun ia adalah biasa sejak 14 November lalu.

Katanya, limpahan melalui alur limpah di Empangan Muda adalah kejadian lazim dan ia akan mengalir melalui Sungai Muda.

"MADA memantau dan memaklumkan status kedudukan limpahan air Empangan Muda dari semasa ke semasa kepada Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau paras air di situ.

"Sejak 1970 limpahan melalui alur limpah Empangan Muda berlaku 26 kali dan terakhir Empangan Muda melimpah pada awal Januari hingga Februari 2018," katanya.

Katanya, kejadian limpahan air dari empangan bertujuan membenarkan air lebihan dari kolam takungan yang tidak dapat ditampung dan akan mengalir melalui alur limpah secara berterusan.

MADA sentiasa memantau dan memaklumkan kepada agensi yang berkepentingan sekiranya limpahan mencapai paras bahaya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan

Tindakan Kecemasan Empangan-Empangan MADA.

"Orang awam dinasihatkan tidak mempercayai berita palsu itu.

"MADA mengambil tindakan awal untuk menyalurkan air lebihan ini melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada sejak semalam melalui sistem pengairan Lana Bulu, Alor Changileh,

Sistem Tengah dan Selatan serta melalui Sistem saliran dengan pembukaan 'Pelubang Barrage' di Kampong Kepala Batu dan Ampang Jajar di Alor Setar," katanya.

Kadar takungan di Empangan Ahning adalah 74.5 peratus, Empangan Pedu (86.4 peratus) dan Empangan Muda (111 peratus), namun tiada pelepasan air di Empangan Ahning dan Pedu dilakukan.

Berita Harian X