Ahad, 15 November 2020 | 1:22pm
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, membentangkan Belanjawan Negeri 2021 di Dewan Undangan Negeri di Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, membentangkan Belanjawan Negeri 2021 di Dewan Undangan Negeri di Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

Kedah teruskan projek berimpak tinggi

ALOR SETAR: Kedah komited meneruskan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi sebagai pemangkin kepada pemulihan ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19 pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata antaranya adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

Katanya, kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek terbabit bakal memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi negeri, sektor perniagaan dan pekerjaan khususnya di daerah berkaitan.

"Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan kepada empat teras utama antaranya mencergaskan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, mensejahterakan dan menambah baik kualiti hidup masyarakat, membina insan, melestarikan kehidupan serta memantapkan tadbir urus.

"Pendapatan negeri tahun hadapan dianggar RM720 juta manakala perbelanjaan mengurus dan pembangunan dijangka berjumlah RM999.9 juta iaitu defisit 11 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang pertama kali membentangkan belanjawan negeri berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif seperti program Beras Sejahtera bagi memastikan tiada rakyat terputus bekalan makanan asas.

"Melalui program ini, sejumlah RM2.16 juta diperuntukkan, dengan kira-kira 3,600 keluarga yang layak akan diberi bantuan makanan bulanan bernilai RM50 iaitu untuk 100 keluarga di setiap kawasan DUN.

"Kita juga akan memperkenal program Anakku Sejahtera membabitkan peruntukan RM1 juta, dengan setiap kelahiran yang memenuhi syarat akan menerima tabungan RM100 di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan perbelanjaan pembangunan negeri berjumlah RM201 juta tahun hadapan.

"Tahun 2021 adalah tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan pelbagai pelan pembangunan dirancang Kerajaan Persekutuan khususnya membabitkan Kedah.

"Kerajaan negeri akan berusaha menggembleng tenaga semua jabatan negeri dan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri dan pihak swasta bagi memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya.

Berita Harian X