Khamis, 12 November 2020 | 10:08am
Empat individu terdiri dari dua lelaki dan dua wanita ditahan ketika leka menghisap dadah di sebuah rumah dekat Bukit Mertajam. NSTP/ Ihsan AADK
Empat individu terdiri dari dua lelaki dan dua wanita ditahan ketika leka menghisap dadah di sebuah rumah dekat Bukit Mertajam. NSTP/ Ihsan AADK

Ibu bawa bayi 2 bulan lepas gian ditahan

BUKIT MERTAJAM: Seorang ibu tergamak membawa bayi lelakinya yang baru berusia dua bulan ke rumah rakan untuk melepaskan gian menghisap dadah.

Wanita itu kemudiannya ditangkap apabila lokasi berkenaan diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Tengah, 10.30 pagi semalam.

Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung, berkata dalam serbuan itu, wanita berkenaan yang berusia awal 20-an bersama tiga lagi rakannya ditahan.

" ADK menahan keempat-empat individu berkenaan untuk siasatan selanjutnya, manakala bayi itu pula diserahkan kepada ahli keluarga wanita terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Chung bekata, serbuan itu dilakukan melalui risikan dan hasil maklumat awam yang mendakwa ia dijadikan lokasi penagihan dadah sejak Jun lalu.

"Saringan ujian air kencing mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998.

Berita Harian X