Rabu, 11 November 2020 | 9:27pm
 Anggota Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara berkawal di laluan masuk Kompleks Penjara Kota Kinabalu yang dikaitkan dengan Kluster Penjara Kepayan. Lokaliti ini dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu dan dilanjutkan sehingga 16 November depan. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah
Anggota Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara berkawal di laluan masuk Kompleks Penjara Kota Kinabalu yang dikaitkan dengan Kluster Penjara Kepayan. Lokaliti ini dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu dan dilanjutkan sehingga 16 November depan. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Rakyat Sabah diingatkan terus patuhi SOP - Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun beberapa kelonggaran diumumkan semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, berkata kelonggaran diberi sebagai usaha mencari keseimbangan di antara kepentingan kesihatan dan ekonomi.

"Matlamat utama kita adalah untuk menjaga kesihatan namun pada masa yang sama, dalam kita mengharungi cabaran berdepan COVID19 ini, kita semua tahu ia meninggalkan impak besar ke atas ekonomi.

"Bagi rakyat yang bekerja dan berpendapatan tetap seperti penjawat awam misalnya tidak ada masalah tetapi bagi golongan bergaji hari atau berniaga secara kecil-kecilan, ia amat sukar kerana itulah punca pendapatan mereka.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya dapati sebahagian besar rakyat masih dapat bertahan kerana mempunyai simpanan namun pada kali keduanya, banyak mengadu simpanan habis.

"Disebabkan itu, mereka perlu bekerja atau bagi golongan peniaga, mereka terpaksa membuka semula perniagaan untuk terus bertahan," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata pihaknya akan sentiasa memantau situasi semasa COVID-19 supaya ketetapan dan pelaksanaan SOP seiring dengan keperluan dalam menguruskan krisis COVID19.

"Setiap SOP yang ditetapkan adalah mengambil kira nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak walaupun kelonggaran diberikan," katanya.

Berita Harian X