Isnin, 9 November 2020 | 12:05pm

PKPB: Pintu keluar masuk negeri dikawal ketat

JOHOR BAHRU: Pintu keluar masuk ke negeri ini dikawal ketat dengan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam tadi, di semua lokasi sempadan keluar dan masuk di kawasan strategik dan sempadan negeri.

Tinjauan di Plaza Tol Skudai yang menjadi antara laluan utama keluar dan masuk ke daerah ini pagi tadi mendapati, setiap kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan ke pusat bandar diperiksa dengan rapi.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat turut bertanya pemandu kenderaan tujuan mereka selain meminta surat atau dokumen berkaitan.

Jurucakap polis berkata, keadaan di SJR Plaza Tol Skudai terkawal dengan kenderaan merentas masuk memahami dan sedar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, bermula hari ini sehingga 6 Disember depan.

"Selain memantau jumlah penumpang dalam setiap kenderaan, kami juga menasihatkan supaya tiada cubaan merentas keluar negeri dibuat supaya mereka tidak dikompaun dan diarah berpatah balik semula ketika sampai di sempadan Johor nanti.

"Kebanyakan pengguna jalan raya yang diperiksa menyatakan, sama ada ingin pergi bekerja, ada temujanji di hospital selain mahu membeli barangan keperluan.

"Kami jangkakan peningkatan pengguna setiap kali waktu puncak bekerja dan balik kerja, setiap hujung minggu selain menjelang perayaan Deepavali nanti dan sudah membuat persediaan sewajarnya termasuk melaksanakan lorong lebih banyak," katanya.

Kelmarin, semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dilaporkan akan dikenakan PKPB selama sebulan bermula hari ini hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan, berkata negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

Langkah itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes COVID-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Anggota polis membuat sekatan dan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui Plaza Tol Skudai, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)) dilaksanakan, bermula hari ini di Johor sehingga 6 Disember depan.- Foto NSTP/Zain Ahmed
    Anggota polis membuat sekatan dan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui Plaza Tol Skudai, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)) dilaksanakan, bermula hari ini di Johor sehingga 6 Disember depan.- Foto NSTP/Zain Ahmed
    Berita Harian X