Jumaat, 6 November 2020 | 5:37pm
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Budak 7 tahun maut, motosikal dilanggar kereta

KLUANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut, selepas motosikal yang ditunggang bapanya dilanggar kereta berdekatan Bulatan Batu Pahat, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng, berkata pada kejadian jam 11.51 pagi itu, kereta berkenaan dipercayai dari arah bulatan dan menghala ke Jalan Besar, manakala motosikal yang dibonceng mangsa Nur Syafiah Munirah Zulnawarin, dari arah Jalan Besar menuju ke Jalan Tasik.

"Kemalangan ini berlaku apabila pemandu kereta melanggar bahagian kanan motosikal dan mengakibatkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.

"Bapa mangsa Zulnawarin Sarman, 49, dan pembonceng (Nur Syafiah) mengalami kecederaan yang agak serius dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 tengah hari ketika sedang menerima rawatan, manakala ayahnya masih berada di zon kuning Unit Kecemasan Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), di sini.

"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan pemandu kenderaan itu sudah ditahan untuk pemeriksaan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X