Jumaat, 6 November 2020 | 7:51am
Anggota polis dan SEB melakukan pemotongan elektrik di salah sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian. -Foto NSTP/Erika George
Anggota polis dan SEB melakukan pemotongan elektrik di salah sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian. -Foto NSTP/Erika George

Judi haram, 18 premis dipotong bekalan elektrik

BINTULU: Berselindung di sebalik perniagaan runcit, 18 premis di sini diputuskan elektrik oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) kerana didapati menjalankan kegiatan judi tanpa lesen, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata meskipun sudah diberikan amaran berkali-kali, pemilik premis masih berdegil.

"Justeru, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan bantuan SEB memotong elektrik di premis itu bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahhari semalam," katanya.

Belia berkata, kesemua premis yang kebanyakannya terdiri daripada kedai runcit di sekitar kawasan bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong diputuskan perkhidmatan elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Di bawah seksyen berkenaan katanya, pihak polis boleh melakukan pemotongan elektrik dengan alasan munasabah mempercayai premis sasaran ada menjalankan aktiviti perjudian.

Pada masa sama katanya, pasukan PDRM dan SEB akan terus menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kegiatan judi tanpa lesen di bahagian ini dari masa ke masa.

Zulkipli berkata, pemotongan bekalan elektrik itu antara langkah terbaik bagi menangani kegiatan judi haram khususnya kegiatan judi dalam talian.

"Antara kesalahan lain yang turut dikesan ketika pemeriksaan lanjut ialah beberapa premis niaga turut gagal mengemukakan lesen perniagaan runcit yang juga satu kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pemilik premis niaga di Bintulu supaya tidak menyalahgunakan premis perniagaan bagi menjalankan kegiatan judi.

Katanya, pelaku akan dikenakan tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Berita Harian X