Rabu, 28 Oktober 2020 | 5:45pm
Jentera backhoe digunakan untuk mengeluarkan mangsa yang maut dihempap jentera penggelek di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai.- Foto NSTP/Ihsan PDRM
Jentera backhoe digunakan untuk mengeluarkan mangsa yang maut dihempap jentera penggelek di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai.- Foto NSTP/Ihsan PDRM

Maut dihempap jentera penggelek

KULIM: Seorang lelaki maut dihempap jentera penggelek yang sedang dikendalikannya di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohd Riduan Mohd Ali, 33, dipercayai sedang memandu jentera itu sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit berair.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya sedang melakukan kerja membaiki jalan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata jentera itu kemudian menghempap mangsa menyebabkan dia tersepit di bahagian bawah.

Beliau berkata, rakan mangsa yang kemudian ternampak kejadian itu cuba membantu dengan menggunakan jentera"backhoe" untuk mengangkat jentera penggelek itu bagi mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba pada jam 3.15 petang dengan ambulans.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X