Ahad, 25 Oktober 2020 | 6:01pm
Melaka menjadikan Sabtu sebagai hari bersama anggota keluarga untuk mencegah denggi. - Foto NSTP/HASSAN OMAR
Melaka menjadikan Sabtu sebagai hari bersama anggota keluarga untuk mencegah denggi. - Foto NSTP/HASSAN OMAR

Kes denggi di Melaka meningkat

Denggi meningkat di Melaka

bhnews@bh.com.my

Denggi meningkat 577 kes di Melaka

MELAKA: Kes denggi di negeri ini dari Januari hingga 17 Oktober lalu meningkat kepada 2,328 kes, berbanding 1,751 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan 577 kes atau 32.95 peratus itu amat membimbangkan kerajaan negeri.

Katanya, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes paling tinggi sebanyak 1,562 kes dan diikuti Jasin (422 kes) dan Alor Gajah (344 kes).

"Sebanyak tujuh kes kematian akibat denggi dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan dan aliran peningkatan kes melebihi paras amaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmad berkata, berdasarkan kajian Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan, peningkatan kes berpunca daripada sikap anggota masyarakat yang membiarkan sampah di merata-rata.

Selain itu, beliau berkata, segelintir orang ramai juga membiarkan peralatan tidak berguna di luar rumah, selain sisa kebun tidak dimusnahkan dengan betul.

Katanya, ada juga penduduk menjadikan kediaman sebagai pusat pengumpulan bahan terbuang dan membiarkan kenderaan buruk menjadi tempat air bertakung.

Rahmad berkata, kerajaan negeri melancarkan kempen 1 Jam Setiap Sabtu - Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes yang bertujuan menjadikan Sabtu sebagai hari bersama anggota keluarga untuk mencegah denggi.

Katanya, antara aktivti disarankan selama sejam itu ialah mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan kaedah memeriksa dalam dan luar rumah, termasuk pasu bunga dan tong.

Beliau berkata, pemimpin akar umbi mesti menjalankan gotong-royong membersihkan kawasan masing-masing daripada semak-samun dan sampah-sarap.

Berita Harian X