Sabtu, 24 Oktober 2020 | 3:29pm

Gangguan bekalan air di Kuala Selangor, Sabak Bernam

KUALA SELANGOR: Tujuh kawasan di wilayah Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual membabitkan pengguna di Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang dan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, pada 26 Oktober ini.

Menerusi aplikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), gangguan bekalan air itu membabitkan empat kawasan di Kuala Selangor dan tiga di Sabak Bernam susulan kerja-kerja pencucian paip agihan.

"Empat kawasan terbabit di wilayah Kuala Selangor iaitu Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/2, Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/3, Jalan Sungai Gulang-Gulang 7/1 dan Jalan Sungai Gulang-Gulang 7/2.

"Penutupan sementara bekalan air ini dijangka berlaku 10 pagi dan dijangka pulih 8 malam, hari sama (26 Oktober)," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan air turut berlaku di tiga kawasan di Sabak Bernam iaitu Jalan Mohd Yasin, Jalan Tebuk Mufrad dan Jalan Belia.

"Penutupan sementara bekalan air di tiga kawasan ini bermula dari 9.30 pagi dan pulih pada 5.30 petang, hari sama," katanya.

Justeru, Air Selangor mengingatkan para pengguna menyimpan bekalan secukupnya sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

"Segala tindakan akan diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pencucian paip agihan dan pemulihan bekalan kepada pelanggan yang terjejas," katanya.

Berita Harian X