Selasa, 20 Oktober 2020 | 1:09pm
JAS Selangor sudah menyiasat aduan terhadap kilang di Banting. - Foto hiasan BERNAMA
JAS Selangor sudah menyiasat aduan terhadap kilang di Banting. - Foto hiasan BERNAMA

JAS siasat aduan pencemaran dari kilang

PUTRAJAYA: Pihak kilang dibenarkan melepaskan air larian hujan ke dalam parit besar bagi membantu pencairan air berwarna hitam dalam kolam takungan kilang di Mahkota Industrial Park, Banting.

Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menambah jumlah pam untuk menyedut air bukan najis ke sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) kilang untuk dirawat, sementara menunggu kelulusan kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata sejak aduan berkaitan kolam takungan itu ditimbulkan, beberapa siasatan penguatkuasaan dijalankan terhadap kilang terbabit dan pihaknya mendapati ada tiga perkara yang diadukan oleh orang awam.

"Pertama, sisa kilang berwarna hitam dan berbau dilepaskan di dalam kolam takungan banjir ke Sungai Langat.

"Punca air berwarna hitam dan berbau bukanlah daripada efluen yang dilepaskan oleh kilang tetapi akibat kejadian limpahan air bukan najis dan kumbahan rumah kongsi yang berlaku pada Ogos lalu, iaitu sebelum tindakan pembaikan diambil oleh kilang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norlin berkata, efluen perindustrian daripada kilang memproses kertas terpakai dirawat di dalam SPEP dan sampel efluen yang diambil oleh JAS pada 17 Oktober lalu adalah jernih dan tidak berbau.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Kolam takungan banjir yang terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Langat ialah kolam yang dibina oleh syarikat yang membangunkan kawasan industri Mahkota Industrial Park, bagi menerima kemasukan air larian permukaan daripada sistem perparitan industri yang terdapat di sekitarnya.

"Kolam ini didapati berbau akibat tiada pengaliran air, kolam menjadi semakin cetek dan dipengaruhi kemasukan air Sungai Langat sewaktu fenomena air pasang dan surut," katanya.

Mengenai isu kedua yang ditimbulkan, iaitu sisa kumbahan rumah kongsi tidak diurus dengan baik, Norlin berkata, kumbahan dari rumah kongsi dirawat menggunakan dua unit tangki septik dan dilakukan proses nyahenap-cemar oleh kontraktor berlesen pada setiap minggu.

"Tiada kumbahan yang dilepaskan ke mana–mana alur air dan air basuhan dari dapur dan air mandian pekerja daripada rumah kongsi dipam masuk ke sistem SPEP kilang kerana air bukan najis ini bersifat organik dan boleh dirawat oleh kilang.

"Langkah ini sementara kerana rumah kongsi akan dirobohkan dalam tempoh dua bulan lagi dan rumah baharu akan dibina dalam kawasan kilang," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada isu ketiga yang ditimbulkan iaitu bunyi bising dan pencemaran udara sehingga menyebabkan gangguan kesihatan kepada penduduk setempat, Norlin berkata, bunyi berkenaan terhasil daripada kerja pemindahan atau pemunggahan kontena di kawasan peletakan kontena.

"Peletakan kontena itu terletak dalam jarak 30 meter dari taman berkenaan. Bagaimanapun, kawasan peletakan kontena ini sudah dialihkan ke kawasan di luar kilang dan kini terletak lebih jauh daripada kawasan perumahan," katanya.

TV3 pada Ahad lalu melaporkan dakwaan pencemaran air berwarna hitam dan berbau oleh penduduk Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat yang turut dikaitkan dengan kilang memproses kertas di Mahkota Industrial Park.

Berita Harian X