Rabu, 14 Oktober 2020 | 4:43pm
Maria Juliana Vanegas Gonzalez,29, (tengah) dan Amanda Osborn, 29, dari Universite libre de Bruxelles (ULB), Brussels, Belgium sedang mempelajari teknik menebar roti canai dengna Azlan Ghani, 44, dari Kampung Tok Jembal. - Foto ihsan pembaca
Maria Juliana Vanegas Gonzalez,29, (tengah) dan Amanda Osborn, 29, dari Universite libre de Bruxelles (ULB), Brussels, Belgium sedang mempelajari teknik menebar roti canai dengna Azlan Ghani, 44, dari Kampung Tok Jembal. - Foto ihsan pembaca

Pelajar warga asing 'jatuh cinta' roti canai

KUALA NERUS: Dua pelajar masing-masing dari Belgium dan Colombia sanggup belajar membuat dan menebar roti canai kerana terlalu meminati makanan berkenaan.

Maria Juliana Vanegas Gonzalez, dari Brussels, Belgium dan rakannya, Amanda Osborn, dari Portland, Oregon, Amerika Syarikat masing-masing berusia 29 tahun adalah pelajar jurusan Sarjana Sains Biodiversiti dan Ekosistem Tropika Universite Libre De Bruxelles (ULB), Belgium.

Mereka 'jatuh cinta' dengan roti canai selepas mereka mengikuti Program Pengajian Master Erasmus Mundus dalam bidang Biodiversiti dan Ekosistem Tropika (Tropimundo) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Belgium sejak Februari lalu.

"Kami terlalu menggemari roti canai...jadinya sebelum pulang ke universiti di Belgium, kami mahu mempelajari membuatnya sendiri," kata Maria Juliana.

Mereka menjadi perhatian warga net selepas gambar dan videonya sedang mempelajari teknik membuat roti canai daripada peniaga makanan itu, Azlan Ghani, 44, dari Kampung Tok Jembal tular di media sosial.

Juliana juga berkata, dia menggemari makanan itu sejak kali pertama menikmati roti canai di kedai sekitar UMT seterusnya menikmati juadah makanan pagi itu hampir pada setiap minggu.

"Tidak lama lagi, saya akan pulang ke ULB... oleh itu dalam tempoh yang ada saya perlu mempelajari membuat rori canai sendiri supaya boleh menyediakan makanan itu sekiranya teringin memakannya.

"Saya dan Amanda bertuah kerana penduduk tempatan iaitu Poklang (Azlan) dan Chaizani Shamsuddin, 50,yang juga guru Bahasa Inggeris di UMT sedia mengajar kami membuat roti canai itu. Rupanya bukan senang untuk menyediakan makanan itu kerana ia perlukan kemahiran menebar yang baik .

"Semua proses boleh diikuti dengan lancar termasuk membancuh dan menguli tepung tetapi proses menebar roti canai supaya ia kelihatan sempurna seperti yang disediakan peniaga roti canai agak sukar," katanya.

Beliau juga yakin, rakan di Belgium dan Colombia yang tidak pernah datang ke negara ini pasti tidak pernah mencuba roti canai oleh itu saya akan menyediakan untuk mereka sebaik tiba di sana nanti," katanya.

Sementara itu, Azlan yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun berniaga canai berkata, dia kali pertama mengajar penuntut universiti luar negara membuat roti canai di kedainya.

"Walaupun kali pertama tetapi mereka sangat cepat menangkap apa yang diajar termasuk proses membancuh dan menguli tepung sehingga kepada kemahiran menebar dan memasak," katanya.

Berita Harian X