Rabu, 14 Oktober 2020 | 11:44am
Tinjauan BERNAMA mendapati dua laluan masuk ke Shah Alam dari KESAS sesak teruk pagi tadi susulan pelaksanaan SJR oleh polis. - Foto BERNAMA
Tinjauan BERNAMA mendapati dua laluan masuk ke Shah Alam dari KESAS sesak teruk pagi tadi susulan pelaksanaan SJR oleh polis. - Foto BERNAMA

Trafik sesak di laluan masuk ke Shah Alam

SHAH ALAM: Dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sesak teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Tinjauan BERNAMA mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan HICOM dari KESAS menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.

Jurucakap KESAS ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik berkenaan bagaimanapun kembali pulih setakat 10.30 pagi tadi.

Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira 9 pagi tadi.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini hingga 27 Oktober depan berikutan peningkatan kes COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X