Sabtu, 10 Oktober 2020 | 9:58am
Gambar fail, keadaan aliran trafik di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. - Foto Mohd Adam Arinin
Gambar fail, keadaan aliran trafik di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. - Foto Mohd Adam Arinin

RM2 juta bantuan makanan untuk kawasan PKPB

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan makanan bernilai RM2 juta di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), merangkumi Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar dan Sandakan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata penyaluran bantuan itu dilakukan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah dengan dibantu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

"Kerajaan negeri sedar pelaksanaan PKPB di daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Sebelum ini kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan kepada penduduk terjejas di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang lebih awal dikenakan PKPB.

PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuat kuasa selama 14 hari mulai 7 Oktober, manakala PKPB di Sandakan, Papar dan Tuaran bermula semalam.

PKPB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang dijadualkan berakhir Isnin ini, dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

Hajiji nafi dakwaan ADUN WARISAN kerajaan negeri bayar hutang bon secara sekali gus. FOTO NSTP
Hajiji nafi dakwaan ADUN WARISAN kerajaan negeri bayar hutang bon secara sekali gus. FOTO NSTP

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga bersetuju supaya semua operasi dan aktiviti perdagangan sistem barter di negeri ini ditangguh bermula 12 Oktober ini sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Perdagangan sistem barter merujuk kepada urusan perdagangan antara selatan Filipina dan Indonesia dengan peniaga dari negeri ini yang berpangkalan di Sandakan dan Tawau.

"Semua rakyat Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Hajiji kini menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth selepas dilaporkan positif COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X