Jumaat, 9 Oktober 2020 | 9:29am
Kakitangan Tadika Yayasan Islam Jalan Pusara, Kuala Terengganu melakukan sanitasi dan pembersihan di kawasan perkarangan dan ruang kelas bagi mencegah penularan wabak COVID19. Tadika disini masih beroperasi seperti biasa walaupun ada penutupan di beberapa kawasan berikutan terdapat kes yang membabitkan kontak rapat serta penularan wabak di peringkat lokal. - Foto Ghazali Kori

COVID-19: Terengganu catat 149 kes

KUALA TERENGGANU: Kes COVID-19 di Terengganu meningkat kepada 149 apabila lima kes baharu dilaporkan semalam dengan 31 kes aktif.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata lima kes baharu itu masing-masing dua di Kuala Nerus dan Dungun, manakala satu kes di daerah Kuala Terengganu.

"Berbanding tujuh daerah lain di negeri ini, Hulu Terengganu setakat ini belum mencatatkan sebarang kes, manakala sejak Isnin lalu 16 premis diarahkan ditutup sementara untuk tujuan sanitasi bagi mengelakkan penularan penyakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, antara premis yang diarah tutup adalah sekolah, klinik swasta, kedai makan selain masjid, surau dan tabika.

"Jabatan Kesihatan negeri juga mendapati ada premis ditutup, tetapi penutupan itu adalah inisiatif pemilik premis dan bukannya diarahkan Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Nor Azimi melahirkan kekecewaan apabila setiap kali ada kes baharu dilaporkan masyarakat mula membuat tohmahan kepada pesakit dan keluarganya.

Beliau turut mengesahkan ada menerima aduan bahawa bukan sahaja ahli keluarga pesakit positif dikecam, tetapi turut menerima tempias kecaman adalah mereka yang bekerja di premis yang pernah dikunjungi pesakit positif.

Dr Nor Azimi turut mengakui turut menerima aduan tidak membenarkan anak dihantar ke taska atau tadika hanya kerana mereka bekerja di premis yang dikatakan ada kaitan dengan kes positif.

"Tohmahan dan kecaman sebahagian masyarakat mendatangkan ketakutan yang melampau, terutamanya membabitkan kanak-kanak," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X